Roketkini.com
TANJUNG PIAI: Risalah fitnah terhadap DAP yang bertujuan memburukkan parti itu adalah tindakan terdesak pihak yang hanya bersandarkan taktik kotor untuk menakutkan pengundi.
Calon DAP Parlimen Tanjung Piai, Mahdzir Ibrahim berkata, sambil melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang antara lain turut menuduh DAP sebuah parti perkauman yang cuba menghapuskan hak orang Melayu dan memusuhi agama Islam.
“Perkara sensitif yang cuba dibangkitkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu cuba untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap DAP sebagai parti yang cuba memusuhi agama Islam dan orang Melayu,” ujar beliau yang juga Koordinator Roketkini.com
Menurut beliau, tuduhan yang dibuat tanpa mengemukakan bukti itu adalah membelakangi prinsip perjuangan DAP yang ingin mewujudkan masyarakat berbilang bangsa dan agama yang hidup harmoni.
“DAP adalah sebuah parti politik yang berlandaskan ideologi demokrasi sosial yang memperjuangkan setiap hak rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum,” katanya.
“Fitnah jahat yang cuba untuk menyamakan DAP sebagai puak ‘chauvinis Cina’ yang cuba melenyapkan hak istimewa orang Melayu adalah fitnah semata-mata,
“DAP menjunjung Perlembagaan yang mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan,” tambah beliau.
Anak kelahiran Johor yang bertanding buat pertama kali di negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu berkata, DAP bersama Pakatan Rakyat lebih berminat untuk memulakan agenda politik baru di mana politik perkauman tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
“Pakatan Rakyat menawarkan politik berdasarkan hujah dan kebijakan untuk kepentingan rakyat Malaysia,” ujarnya sambil menegaskan bahawa Pakatan Rakyat mempromosikan agenda keharmonian berbilang kaum. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan