HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 April 2013

Dayangku Intan, Azaman optimis rampas kerusi

Wartawan Sinar Harian

Dayangku Intan
Tengku Intan Tengku Abdul Hamid
 
PENGERANG – Jika pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Datuk Seri Azalina Othman Said menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Pengerang, namun pada PRU13 ini, beliau mendapat tentangan daripada dua pencabar.

Pertarungan tiga penjuru bakal menyaksikan pertembungan penyandang kerusi yang juga bekas Ketua Puteri Umno dengan penyanyi era 80-an, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid (PKR) dan bekas guru, Mohd Azaman Johari (Bebas).

Ketiga-tiga calon mewakili Barisan Nasional (BN), PKR dan Bebas masing-masing sudah melaungkan keyakinan mampu menawan hati pengundi, sekali gus menang kerusi berkenaan.

Tengku Intan atau lebih dikenali sebagai Dayangku Intan yang sebelum ini lebih dikenali sebagai seorang artis, percaya 70 peratus daripada penduduk menuntut perubahan berdasarkan kepada sambutan diterima sepanjang berkempen.

Katanya, walaupun terdapat masalah berbangkit ketika berkempen, namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam usaha memastikan Pakatan Rakyat (PR) beroleh kemenangan.

“Mendengar rungutan penduduk yang masih menantikan janji-janji yang masih belum ditunaikan oleh pihak kepimpinan sebelum ini memberi kelebihan buat kita.

“Kita tidak melihat penduduk Felda yang merupakan majoriti penduduk di sini tidak menyokong kita. Mereka bukan tak menyebelahi kita, cuma takut nak tunjuk dan menterjemahkan sokongan sahaja.

“Mereka menerima kedatangan kita setiap kali kempen lawatan rumah ke rumah penduduk Felda,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Mohd Azaman, berstatus sebagai anak tempatan memberi kelebihan kepadanya untuk meraih undi, sekali gus menang kerusi Parlimen Pengerang.

Beliau berkata, masyarakat akar umbi sudah mengenalinya dan ia memudahkan lagi kempennya pada pertarungan tiga penjuru itu.

“Saya akan melakukan sebaik yang mungkin untuk memperjuangkan nasib rakyat di kawasan Pengerang ini,” katanya.

Sementara itu, Azalina sudah dua penggal menjadi ahli parlimen kawasan berkenaan, berkeyakinan dengan keupayaan jentera pilihan raya dan sokongan penduduk setempat akan terus kekal menyokong BN.

Beliau berkata, Parlimen Pengerang akan terus menjadi kubu kuat BN khususnya Umno walaupun berdepan cabaran Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid dan Mohd Azaman Johari.

“Kita masih yakin rakyat Pengerang tidak akan termakan dengan apa yang dikatakan calon lawan (PR dan Bebas) sebab mereka di sini banyak tahu jasa yang telah BN buat kepada rakyat.

“Malah dari dulu lagi, Pengerang menjadi kubu kuat BN dan kita percaya kawasan ini selamanya akan terus menjadi kubu kuat BN,” katanya.

Tiada ulasan: