HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2013

GST dilaksana sebaik BN menang PRU13?

Oleh H FANSURI



Petang itu hujan bercampur lebat. Bandar Baru Bangi itu berwajah sugul diiringi kilat petir yang bertalu-talu datang. Hal itu tidak mematahkan semangat kami memburu analisis terkini Prof Madya Dato' Dr Mohamad Agus Yusof.

Beliau datang walau dihambat kedinginan. Di sebuah restoran biasa, kami berteduh bagi mengikuti kupasannya.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak kupasannya, beliau kerap menekankan kepentingan media dalam usaha menyedarkan rakyat berhubung dasar dan pelaksanaan GST apabila BN ditakdirkan menang nanti.

"Najib Razak misalnya, tidak pun meletakkan hal GST dalam manifesto BN,” katanya. “Jadi, rakyat mesti diingat kembali mengenai keburukan hal ini jika BN dibenarkan memerintah semula.”

Memang agak sulit jika mahu membangunkan kesedaran mengenai keburukan GST. Di sini, terlihat bagai adanya kekesalan kerana kebanyakan isu besar kerap terlepas pandang menjelang musim pilihan raya.

Bualan tentang hal politik ini berpindah ke rumahnya pula.  Ahmad Lutfi Othman dilihat akrab dengan Dr Agus, bertukar-tukar fikiran dalam banyak hal. Sesekali, disentuh hal politik Anwar Ibrahim ketika menyentuh isu-isu lain pula.

Bagaimanapun, kata Dr Agus, Ketua Umum KeADILan itu telah pun sarat fikirannya dengan pelbagai isu lain.

“Kasihan pula kepada Anwar,” katanya. “Banyak sangat benda yang nak diserahkan kepadanya."

Bualan santai petang yang mewah dengan kedinginan hujan itu turut menyentuh hal-hal kemenangan Pakatan Rakyat dan pengisian selepas kemenangan (jika menang). Isu-isu ini panjang pula bahasannya.

Dan, yang dikesalkan, hal seperti GST ini dilupakan rakyat sedangkan menurut penganalisis politik itu, hal inilah yang paling utama disebut-sebutkan ketika menjelang PRU13.

GST dikena terhadap semua barang dan perkhidmatan bercukai yang dikeluarkan termasuklah barangan yang diimport. Bebanan seperti ini akan menambah berat kos saraan hidup rakyat. Adakah pelaksanaan GST ini bertepatan dengan semangat perniagaan kaum Muslimin?

Kalau ditinjau sejarahnya, yang wujud selama ini adalah pasar di mana urus niaganya bertepatan dengan semangat sunah Nabi s.a.w dan menepati amalan perniagaan masyarakat Islam di Madinah.

Pasar dalam sunah Rasulullah s.a.w, disyaratkan memenuhi empat hal berikut - iaitu ia tidak dimiliki oleh sesiapa, tiada sewa dikenakan ke atas peniaga, tiada cukai dan tiada penyelewengan. 

Sabda Nabi s.a.w, “Pasar mesti mengikut sunah seperti masjid iaitu sesiapa yang dapat tempat dahulu di pasar maka dia memiliki hak ke atasnya sehingga mereka tinggalkan pasar dan pulang setelah selesaikan dagangannya pada hari itu”.

Kedudukan yang sama antara pasar dan masjid adalah kebebasan bagi memilih tapak.  Jika di masjid ada orang yang yang datang awal, maka beliau akan mendapat tempat terbaik di masjid itu.

Tiada orang yang boleh tempah ruang dan menguasai ruang perniagaan. Hal ini sama seperti keadaan di masjid, iaitu tiada sesiapa yang boleh tempah saf istimewa di masjid. Ya, pasar tidak dimiliki sesiapa pun.

Juga tiada bayaran dikenakan. Ia sama keadaannya seperti – kita tidak perlu membayar untuk bersolat di masjid. Bayaran di sekitar pasar biasanya dikenakan bagi tujuan menyimpan barangan.

Paling penting untuk dibahaskan di sini adalah di dalam pasaran amalan sunah, tiadanya percukaian. Hal ini menepati hadis rasul – ”Ini pasarmu, jangan dibenarkan apa juga bentuk cukai dikenakan ke atasnya”.

Asas ini akan menjamin peluang yang sama terhadap semua peniaga. Dan hal perniagaan tidak dikaitkan dengan sesuatu kaum, tiada ketua atau puak istimewa dalam pasar.  Ringkasnya, pasar bebas ini terbuka kepada semua. Maka, inilah ruang yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat – pasaran bebas ala sunah.

Lalu, ibu kejahatan yang merosakkan ekonomi negara kini adalah GST. Ia bersalahan dengan sunah nabi, di mana jelas wujud peraturan yang menolak jenis percukaian yang dikenakan ke atas kaum peniaga ini.

Apabila cukai GST diperkenalkan, maka kos meningkat, dan ia mendera peniaga dan sekali gus menindas kaum pengguna secara tidak langsung. Isu ini agak berat. Adakah GST telah dilupakan Pakatan Rakyat?

Pulang daripada rumah Dr Agus, perkara yang sekecil ini berlegar-legar dan bermain-main di fikiran. Kita tidak cuma perlukan kerajaan yang kuat, tapi juga memerlukan pembangkang yang lantang menentang.

Tiada ulasan: