Pilihanraya kali ini merupakan
pilihanraya yang terbesar dan terhangat dalam sejarah negara. Gerakan untuk
melakukan perubahan jelas dan tidak dapat dinafikan begitu sahaja. Dalam masa
inilah kita boleh mengkaji sikap dan perangai kepimpinan mana-mana parti yang
bertanding dan menawarkan khidmat dan seterusnya mendapatkan mandat rakyat.
UMNO dan BN tidak lagi boleh
mendabik dada seperti dahulu. Dulu UMNO begitu angkuh dan dimana-mana mereka
berkata calon UMNO tidak payah datang berkempen, cukup kalau dihantarkan
songkoknya sahaja untuk mewakili calon UMNO itu. UMNO akan tetap menang.
Semuanya itu sudah menjadi sejarah. UMNO terpaksa akur terhadap kehendak rakyat
dan sekarang sedang menadah meminta belas ehsan rakyat untuk mendapatkan
sokongan.
UMNO sudah hilang segala-gala nya.
Semalam Dr Mahathir meminta UMNO jangan mengambil tindakan terhadap Johan Che Pa
kerana kononnya Johan telah berkorban untuk Perkasa dan niat Johan itu adalah
baik untuk BN. Mahathir tidak peduli dengan undang-undang untuk kepentingan
beliau dan kroninya.
Mahathir tidak peduli dengan
pandangan ramai. Kalau tidak masakan beliau sanggup membunuh partinya sendiri
dan memecat 5 orang Hakim Mahkamah Agong kerana kepentingan peribadi beliau.
Itu semua orang tahu, tidak payah dipanjangkan isu itu.
Dalam masa keghairahan gerakan
pembaharuan ini, terdapat banyak juga manusia yang cuba-cuba menjadi pemimpin
dengan tidak sengaja mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan sikap sebenar
seseorang atau kumpulan itu. Saya berharap apa yang ditulis oleh Norman
Fernandez, Timbalan Pengerusi DAP Johor, yang meminta rakyat tidak mengundi PAS
itu melambangkan keadaan dan pemikiran yang sebenar yang ada di dalam benak
Norman itu.
Ia melambangkan sikap angkuh dan
semuanya ini berlaku kerana sudah begitu yakin akan memenangi pilihanraya ini
dan terus berkuasa di Putrajaya. Manusia yang berfikir akan memilih isu ini
untuk menilai perlakuan seseorang pemimpin itu. Perlakuan seseorang pemimpin
itu akan menjejaskan kewibawaan parti yang beliau wakili.
Kenyataan Norman Fernandez itu
menusuk tulang orang Melayu Islam dan tidak memberi apa-apa faedah kepada
beliau dan partinya. Ingat, kadang-kadang apa yang sudah sampai ke mulut pun
boleh terkeluar dan menghampakan niat untuk merasai apa yang kita hajati. Kerana
keghairahan yang keterlaluan ia akan membantutkan niat kita untuk mendapatkan
kejayaan itu.
Saya selalu berkata, kalau hendak
menembak pelanduk atau burung, jangan bersorak dahulu. Nanti lari pelanduk atau
burung itu sebelum kita sempat menembak. Kalau hendak makan dengan tangan,
basuh tangan dahulu dan bersihkan kuman-kuman ditangan itu. Jangan pula oleh
kerana terlalu ghairah hendak makan, kita lupa untuk membasuh tangan pula.
Nanti kuman akan mengikuti kita
dan kuman itu akan masuk kedalam tubuh badan kita yang boleh merosakkan
kesihatan. Itulah yang terjadi kepada UMNO dahulu dan sekarang. Pimpinan
terlalu banyak kuman yang berada di dalam pemikiran dan sikap mereka.
Rakyat memerhatikan sikap kita. Mereka
akan berkata yang kita mahukan perubahan yang sebenarnya. Jika kuasa itu
berpindah dari pihak yang korup kepada yang gila kuasa ia bukan perubahan. Maka
rakyat yang mengharapkan perubahan itu akan merasa hampa kerana mereka tahu
keadaan yang sama akan berlaku. Hanya orangnya sahaja yang berubah dan bertukar.
Rakyat akan tetap dalam kebingungan buat lima
tahun lagi.
Kenyataan Norman itu mampu
menjadi lambang kepada sikap keseluruhan partinya yang sebenar. Bagaimana DAP akan bertindak terhadap Norman ini sedang dinanti-nantikan oleh rakyat
terutamanya di Johor.
Saya berulang kali mengingatkan
semua pihak, siapa yang melakukan kesilapan walau sekecil mana sekali pun, merupakan
tindakan yang akan menghampakan diri sendiri. Jangan berfantasi sebelum
kejayaan benar-benar tercapai.
Keadaan politik kini terlalu
‘fluid’ dan keadaan akan berubah kerana kesilapan sedikit yang terhasil dari
sifat ghairah yang keterlaluan. Saya merasa takut jika ternanam persepsi
dikalangan orng ramai yang peralihan dan anjakan kuasa itu tidak membawa makna
yang positif kepada rakyat semua.
Jangan jadi sombong dan besar kepala semata-mata
kerana merasakan yang ‘power is just a door knock away’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan