HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2013

DAP parti pelbagai kaum, sentiasa buka pintu, peluang kepada orang Melayu

Roketkini.com



GELANG PATAH,: Calon Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, DAP adalah parti sah yang terbuka kepada semua bangsa dan kaum, tetapi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta cybertroopers upahan mereka yang masih menyebarkan fitnah tentang DAP.

Katanya, jika DAP bertindak di luar undang-undang atau melanggar Perlembagaan Persekutuan, tentu DAP sudah lama diharamkan.

“Fitnah itu diulang-ulang sehingga ada orang keliru dan tidak sedar bahawa UMNO sebenarnya yang menutup pintu kepada orang bukan Melayu menyertainya, MCA pula tidak membenarkan orang bukan Cina dan MIC tidak membuka pintu kepada orang Melayu atau Cina. Jadi BN yang mengamalkan politik berasaskan kaum.

“Namun, saya lega sekarang kerana semakin ramai orang Melayu sedar mengenai fitnah UMNO dan BN yang disiarkan melalui media. Semakin ramai orang Melayu tidak percayakan laporan Utusan Malaysia, TV3, Berita Harian dan lain-lain media yang dikawal ketat UMNO dan BN,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Kit Siang berkata, malah kini semakin ramai orang Melayu yang hadir ceramah PR, yang melawat laman web parti komponen PR serta portal berita internet yang lebih adil dan objektif telah sedar bahawa DAP tidak berjuang kerana kaum atau agama.

Menurutnya, DAP berjuang demi rakyat, demokrasi, keadilan sosial, kebebasan dan peluang saksama tanpa mengira kaum atau agama, malah DAP terus berusaha lebih kuat untuk membantu semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, India, Kadazan, Dusun, Iban, Bidayuh dan kaum Bumiputera lain.

“Sejak ditubuhkan pada 1966, DAP mempunyai ramai pemimpin dan calon daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu. Malah, DAP meletakkan calon Melayu dalam setiap pilihan raya umum yang ditandinginya sejak 1969.

“Sebanyak enam wakil rakyat Melayu daripada DAP memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri serta Parlimen, termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor. Berbanding parti komponen BN, jelas bahawa DAP yang paling banyak meletakkan calon Melayu sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, malah, sehingga sebelum Parlimen dibubarkan pada 20 April lalu, DAP adalah satu-satunya parti yang mempunyai wakil rakyat berketurunan India yang terbanyak di kalangan semua parti di Malaysia.

“Kini DAP mempunyai ramai calon Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Inilah bukti DAP parti pelbagai kaum yang berjuang untuk kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: