HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2013

PAS, DAP pertegas dasar bersama

Roketkini.com



GEORGE TOWN: Pemimpin tertinggi PAS dan DAP mempertegaskan pendirian kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat (PR) berdasarkan dasar bersama yang dipersetujui kedua-dua parti.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperteguhkan pendirian bahawa kedua-dua parti itu mempunyai pendirian serupa dalam hal menegakkan kebebasan, keadilan, integriti dan demokrasi.

“Perbezaan di antara PAS dan DAP hanya setakat 5% sedangkan kami bersetuju 95%,” jelasnya dalam kenyataan media yang ditandatangani keduanya.

Menurut mereka, Manifesto Pakatan Rakyat adalah berasaskan konsep negara berkebajikan PAS dan perjuangan adil untuk semua yang dibawa DAP.

“PAS berhak memperjuangkan akidah dan konsep negara Islam secara sendiri. DAP juga berhak memperjuangkan Negara Berperlembagaan Parlimen yang tidak sehaluan dengan konsep negara Islam.”

Namun, menurut mereka, Manifesto Pakatan Rakyat adalah berteraskan dasar bersama yang dipersetujui ketiga-tiga parti yang tidak menindas atau menolak hak mana-mana bangsa, agama mahupun jantina.

Sambil mengajak rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat pada hari mengundi 5 Mei ini, kedua-duanya mahu rakyat bersatu melawan kemungkaran dan amalan rasuah Barisan Nasional (BN) yang sudah lama berlarutan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: