PETALING JAYA : Kerusi yang bakal ditandingi Datuk Seri Chua Jui Meng masih di peringkat perbincangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat, kata Mohamed Azmin Ali.
Timbalan Presiden KEADILAN berkata, rundingan tersebut berhubung tawaran kerusi kepada Pengerusi KEADILAN Johor itu.
“Sehingga Rabu malam lepas, kita masih dalam proses rundingan tentang tawaran kerusi, ia akan diselesaikan secepat mungkin.
“Sudah tentu kita hargai sumbangan beliau (Jui Meng) dalam membangunkan parti di Johor,” kata Azmin pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Pengarah Pilihan Raya KEADILAN itu mengulas pertanyaan mengenai kerusi yang akan ditandingi Jui Meng pada pilihan raya kali ini.
Menurut Azmin, proses rundingan pembahagian kerusi KEADILAN masih berjalan dan akan selesai dalam waktu terdekat.
“Menjelang hujung minggu ini, semua pembahagian kerusi antara KEADILAN akan diselesaikan, manakala rundingan antara Pakatan dijangka selesai petang ini,” jelasnya.
Terdahulu, dalam sidang media berasingan, Jui Meng menyatakan kesediaan untuk membantu kempen Pakatan Rakyat di Johor sekiranya tidak bertanding.
Menurutnya, KEADILAN meletakkan 12 kerusi Parlimen di negeri itu dan 11 daripadanya telah pun diisi.
“KEADILAN ada 12 kerusi Parlimen di Johor dan setakat ini 11 daripadanya telah diiisi oleh semua calon yang sangat bagus dan berwibawa,” katanya.
Dengan perkembangan ini, ‘cakap-cakap’ mengenai status kerusi yang dicalonkan untuk Jui Meng terjawab.
“Saya tidak ada masalah dengan tawaran untuk bertanding. Saya masih pimpinan KEADILAN, dan komited bekerjasama dengan calon PAS dan DAP untuk berkempen dan memperoleh kemenangan besar di Johor,” kata Jui Meng.
Mengulas lanjut, Naib Presiden KEADILAN itu berkata, Parlimen Gelang Patah merupakan kawasan yang dijangka mendapat kemenangan mudah, apatah lagi ia bakal ditandingi Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
“Beliau (Kit Siang) pemimpin yang dihormati, dan konsisten memperjuangkan demokrasi serta perubahan. Justeru kita beri sokongan padu kepada beliau,” kata Jui Meng. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan