Oleh Syed Imran
Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan secara tersirat membenarkan seseorang Menteri memegang jawatan sehinggalah bermulanya penggal baru Parlimen. Peruntukan tersebut membenarkan pelantikan seseorang Menteri dibuat ketika Parlimen terbubar.
Oleh kerana Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen, maka berdasarkan konvensyen perlembagaan Kabinet atau Jemaah Menteri (tidak termasuk Timbalan Menteri kerana mereka bukan anggota Kabinet) akan terus wujud sebagai Kerajaan 'caretaker' atau lebih mudah dirujuk sebagai "kerajaan sementara". Di Malaysia, timbalan menteri terus memegang jawatan walaupun bukan anggota Kabinet. Ia adalah pelanggaran semangat "kerajaan sementara".
Kita terima kenyataan bahawa tidak ada salahnya sekiranya seseorang
Menteri itu merasmikan apa-apa majlis termasuk yang bukan di bawah
tanggungjawabnya mengikut Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan
2000 semasa Parlimen terbubar.
Tetapi, perlu diingatkan bahawa jika seseorang Menteri itu merasmikan
majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya, Menteri tersebut tidak
boleh dianggap sebagai menjalankan tugasnya sebagaimana diperuntukkan di
bawah Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2000. Perkara ini
banyak berlaku.
Sejak Parlimen dibubarkan, Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional)
bertindak selaku "kerajaan sementara", bukan kerajaan BN. Perkara ini
yang ramai tidak sedar dan tidak tahu. Apabila Parlimen terbubar, maka
Dewan Rakyat mengalami kekosongan kerusi, iaitu tiada wakil rakyat yang
mewakili parti-parti politik. Hanya Jemaah Menteri atau Kabinet yang
dibenarkan menerajui perjalanan seharian kerajaan atas sifat "sementara"
sehingga terbentuk sebuah kerajaan baru.
Oleh itu, tidak wujud "pembangkang" kerana tidak wujud "kerajaan yang
dipilih rakyat". Kerajaan sebenar hanya akan wujud selepas pilihan raya
atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Apa yang berlaku, setiap hari kita mendengar ungkapan "pembangkang"
dalam laporan media khususnya semua media elektronik apabila merujuk
kepada parti-parti politik yang bukan dari kelompok Barisan Nasional.
Ini yang tidak betul dan tidak kena sama sekali. BN bukan lagi kerajaan
tetapi antara parti politik yang sedang menagih sokongan rakyat untuk
membentuk kerajaan.
Sekali lagi diulangi bahawa yang ada sekarang hanyalah "kerajaan
sementara" bukan kerajaan BN ataupun kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah,
Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
Keadaan mungkin berubah, sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri-Negeri, selepas 5 Mei, 2013.
http://kudaranggi.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan