Dalam kempen pilihanraya kali ini
setiap parti bercakap tentang perubahan dan masing-masing parti memberikan
interpretasi perubahan itu berbeza-beza. Najib hari ini memberikan interpretasi
perubahan itu sebagai perubahan dari dalam. Beliau memberikan contoh Felda
telah melalui perubahan dari dalam dan tidak perlu perubahan kerajaan.
Di pihak pembangkang, perubahan
itu ialah dengan mengubah kerajaan kerana kerajaan sekarang bertanggungjawab
menjadikan keadaan negara kita tidak menentu politiknya, tiada arah tujuan yang
betul dalam mentadbir kerajaan dan untuk membersihkan kerajaan daripada
kegiatan rasuah yang tidak terkawal.
Yang lebih penting lagi perubahan
kepada kerajaan terpaksa dilakukan kerana sememangnya sudah sampai masa BN itu
berada di pihak pembangkang pula setelah BN membina budaya politik perkauman
yang terlalu menebal dalam negara hari ini. Tujuan ‘ultimate’ kita ialah untuk
mencapai tahap perpaduan nasional dan itu adalah idaman semua rakyat yang
mempunyai tahap pemikiran yang bersih dan jernih.
Isu inilah yang saya ingin
melakukan sedikit kupasan kerana ini adalah matlamat terakhir kita sebagai
rakyat di dalam negara majmuk seperti Malaysia ini.
Bagi saya definasi perubahan itu
ialah perubahan sikap dan mentaliti dan persepsi kepada sesuatu perkara yang
berlaku dan akan kita lakukan serta cara kita mengambilnya. Pertamanya rakyat
ramai berfikir yang perubahan perlu dilakukan kerana kelemahan yang ditunjukkan
oleh UMNO keterlaluan.
Kelemahan UMNO itu di antaranya
ialah penggunaan kuasa dengan sewenang-wenangnya sehinggakan tidak lagi dapat
membezakan yang mana penggunaan kuasa yang betul dan yang tidak betul. Tidak
tahu tindakan apa yang bertentangan dengan etika demokrasi dan yang mana satu
yang tidak patut dilakukan.
Semuanya ini berlaku kerana UMNO
sudah terlalu tersasar dari yang sepatutnya dilakukan sebagai parti siasah dan
politik dan parti itu tidak membawa bersama roh perjuangannya sejak hampir tiga
puluh tahun lalu. Ramai di antara pemimpin-pemimpin UMNO tidak tahu kenapa dan
mengapa mereka berada di barisan kepimpinan parti di setiap peringkat.
Ramai terkeliru apa sebenarnya
yang menjadikan mereka itu pemimpin. Adakah wang ringgit dengan permainan
politik wang dan sebagainya? Adakah mereka menjadi pemimpin secara ‘tut’ dengan
hanya menjadi pengampu dan ‘court jester’ kepada pimpinan tertinggi atau oleh
kerana hubungan perniagaan dengan pucuk pimpinan yang berniaga bersama dengan
rakyat yang mereka pimpin?
Kekeliruan ini telah berlaku
sejak tiga puluh tahun dahulu dan tidak dapat diselesaikan dan diperbaiki
sehingga hari ini. Hasilnya dari seorang pimpinan ke pimpinan seterusnya
kelemahan ini diwarisi sampailah kepada pimpinan Najib sekarang. Hatta rakyat
mula bangkit dan mengambil segala kesempatan serta berpakat-pakat untuk
menyertai program perubahan yang dirancang oleh rakyat sendiri.
Rakyat biasa yang tidak berpuas
hati bersatu dengan mereka yang tidak mempunyai matlamat yang betul untuk
melakukan perubahan itu. Dalam
hal ini
semua yang jujur dan setia untuk melakukan perubahan ini bersatu dengan
pihak
yang mahu mengambil kuasa kerana semata-mata untuk mendapatkan kuasa.
Beraraklah semua yang telah bersatu ini ke utara dan ke selatan, ke
timur dan ke barat
bagi memberikan semangat kepada rakyat yang ramai untuk bersama.
UMNO begitu panik dan tidak tentu
arah sehinggakan pemimpin yang sudah pencen seperti Dr Mahathir kembali
bercakap dan mundar-mandir berusaha mempertahankan UMNO dan BN itu, parti yang
beliau sabotaj sendiri dalam PRU yang lepas. Kalau pihak BN menuduh pihak Pakatan
tergila-gila mendapatkan kuasa, pihak BN juga tergila-gila mempertahankan kuasa
dengan cara yang tidak beretika dan bersalahan dengan semangat demokrasi
sebenarnya.
Isu perkauman menjadi isu hangat
dan topik yang lancar di mulut kedua-dua belah pihak. Mahathir telah membelasah
DAP dan PKR yang dikatakannya kedua-dua parti ini adalah parti rasis tetapi
pihak DAP juga menuduh BN itu ‘coalition’ yang rasis juga yang diketuai oleh
MCA dan lain-lain. Pihak Pakatan juga memainkan isu yang UMNO memainkan isu rasis
dan chauvinis Melayu. DAP telah memaparkan imej yang parti itu adalah parti
'multiracial' tanpa mengira kaum dan agama. Laungan DAP ini mendapat tempat di
hati orang Melayu dan parti ini telah mendapat sokongan Melayu yang agak
menular.
Sekarang tarikh pilihanraya telah
pun ditetapkan oleh SPR dan pengundian akan dilakukan oleh 13.5 juta rakyat
yang layak mengundi pada 5hb Mei yang akan datang ini. Rakyat terutamanya yang
masih di atas pagar akan menentukan siapa yang menang dan kalah. Akhir-akhir ini
saya selalu mengingatkan, siapa yang melakukan kesilapan akan menerima padah
yang besar, kerana kekuatan kedua-dua belah pihak adalah seimbang.
Saya mendapat reaksi yang besar
melalui email yang saya terima setiap hari. Kebanyakan mereka menanyakan soalan
yang saya amat sulit untuk menjawabnya. Soalan-soalan itu datang dari serata
tempat dalam negara ini yang terdiri dari mereka yang berbilang kaum.
Persoalan yang popular ada dua.
Pertamanya adakah wajar kita memberikan UMNO dan BN sekali lagi untuk mentadbir
negara? Soalan itu mudah saya jawab kerana saya selalu menulis tentang perlunya
BN ditundukkan kali ini.
Persoalan yang kedua yang selalu
saya terima ialah betulkah Pakatan Rakyat melaksanakan janji-janji politiknya?
Tidak ada siapa yang mempersoalkan PAS kerana rata-rata nampaknya menerima PAS
sebagai parti ‘alternative’ yang terbaik bagi rakyat kecuali penyokong tegar
UMNO yang menyokong parti tanpa soal itu.
Yang terbanyak soalan yang saya terima ialah
kenapa DAP masih memaparkan imej sebagai parti Cina kerana penampilan calon
Melayu yang ‘negligible’ dalam senarai calon-calon mereka dalam pilihanraya
ini. Adakah DAP sudah merasakan ia sudah kuat dan tidak memerlukan sokongan
Melayu lagi? Satu lagi persoalan besar ialah soalan yang berkait dengan PKR.
PKR dipersoalkan kredibilitinya
sebagai sebuah parti yang baik kerana terlalu banyak percakaran di antara
pimpinan mereka di setiap peringkat itu.
Soalan-soalan inilah yang perlu
mendapat jawapan dari DAP dan PKR dalam menghadapi pilihanraya ini. Jika DAP
dan PKR merasakan soalan ini tidak perlu dijawab tidak mengapa. Biarkan sahaja
soalan itu tidak berjawab.
Kadangkala jika satu-satu soalan
itu payah untuk dijawab, elok diabaikan sahaja soalan-soalan itu dan biarkan
mereka yang di atas pagar itu membuat penilaian mereka sendiri. Kalau hendak dijawab
nanti, terpaksa pula menambah janji-janji baru pula.
Mungkin ada yang tidak berkenan dengan tulisan saya ini kerana tidak menulis apa yang mereka hendak dengar tetapi saya memohon maaf, kerana kebenaran dari sudut pandangan saya itu lebih penting untuk saya muatkan dalam posting ini.
Mungkin ada yang tidak berkenan dengan tulisan saya ini kerana tidak menulis apa yang mereka hendak dengar tetapi saya memohon maaf, kerana kebenaran dari sudut pandangan saya itu lebih penting untuk saya muatkan dalam posting ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan