| Hazayani Zakaria, |
KUALA LUMPUR: Calon PAS yang bertanding di Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Nasrudin Hassan yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia bersedia menerima amanah parti dan berjanji akan membawa agenda parti kepada masyarakat.
Optimis PAS dapat meraih sokongan masyarakat di Temerloh khususnya orang muda, beliau berkata perubahan sikap pengundi sangat ketara akhir-akhir ini yang menuntut perubahan total berlaku dalam pemerintahan negara selepas PRU13.
"Sikap pengundi muda juga sangat berpihak kepada PR dalam banyak perkara. Tinggal lagi pergantungan tinggi kepada Allah swt, kesungguhan jentera, dan persefahaman serta kesepakatan antara jentera Pakatan, Insyaallah Pakatan akan berjaya dan menang di Parlimen Temerloh," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Nasrudin diisytiharkan bertanding di Parlimen Temerloh oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Selasa lalu.
Nasrudin juga berkata, sokongan kaum Tionghua juga sangat tinggi dan mereka menaruh harapan agar berlaku peralihan kuasa dari BN kepada Pakatan Rakyat selepas PRU13.
Menyifatkan Temerloh sebagai kawasan berpotensi untuk PAS, beliau juga mengharapkan sokongan dan bantuan dari jentera parti.
Kerusi Temerloh disandang oleh Datuk Saifuddin Abdullah (BN) yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
Pada PRU12 tahun 2008 lalu, Saifuddin memperoleh 21,381 undi mengalahkan Ahmad Nizam Hamid (PKR) yang mendapat 18,940 undi.
Jumlah pengundi adalah seramai 54,010 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan