DR MOHD NASIR HASHIM
Menurut Nasir, perbincangan yang sedang berjalan dalam parti komponen Pakatan Rakyat (PR) dan pihaknya menunjukkan petanda positif kepada parti itu.
"Gambaran nampaknya positif. Kita hendak satu lawan satu. Kota Damansara adalah kawasan PKR. PSM juga diminta bertanding oleh pengundi di sini menggunakan logo PKR," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online.
Kota Damansara satu-satunya Dun yang menyaksikan pertindihan kerusi dalam PR yang masih belum berjaya dirungkai sehingga ke hari ini.
Semalam, Anwar memaklumkan enam kerusi yang berlaku pertindihan di antara Pas dan PKR berjaya diselesaikan kecuali Kota Damansara.
Bukan mudah katanya untuk PKR melepaskan kerusi berkenaan kerana "telah memakan banyak usaha dan pengorbanan oleh pihak PKR untuk berhadapan dengan parti komponen dalam PR sendiri."
PR mengambil masa yang lama untuk berunding isu kerusi ini demi mewujudkan pertembungan satu lawan satu di antara PR dan BN.
Namun pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Pas turut menghantar calonnya menjadikan pertandingan di Dun berkenaan menjadi enam penjuru, dua dari PR iaitu PKR yang meletakkan calon PSM dan Pas, BN dan tiga calon Bebas.
Bagaimanapun ujar Anwar, sehingga sekarang Pas tidak bersetuju dengan PSM terutamanya perkara yang berkaitan dengan perbezaan di antara parti itu dengan PSM.
Menurut Nasir pula, Kota Damansara adalah kawasan PKR dan Pas adalah "penceroboh".
"Ini kawasan PKR. Apabila Pas masuk, ia sudah langgar peraturan. Apabila Pas masuk, lain tak boleh masuk. Jadi apabila PKR masuk, Pas tak boleh masuk," ujar beliau.
Menggambarkan beliau mahu terus mewakili pengundi di sini, Nasir berkata, walaupun mungkin keputusan perbincangan nanti memihak kepada Pas, beliau akan tetap bertanding di kerusi Dun terbabit.
"Saya adalah penyandang dan saya ada hak. Maknanya kalau ada parti lain hendak bertanding, ia adalah penceroboh, bukan saya," tegas beliau sambil berkata, ia juga tidak tertakluk di bawah peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tambahnya, di pihak PSM pihaknya seboleh-bolehnya mahu perkara ini diselesaikan dengan baik.
"Itulah kalau musuh kita cepat bertindak. Tapi ini dengan kawan sebab itu kita lambat bertindak balas," ujar Nasir yang juga presiden PSM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan