HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 April 2013

Rakyat menyampah fitnah lucah


Oleh Zulkifli Yahaya


APABILA Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan cara mengaibkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan beliau, Perdana Menteri pada waktu itu tentu percaya bahawa rakyat akan bersamanya dan menolak ‘manusia berakhlak buruk’. 

Mengeksploit isu seks secara keterlaluan yang begitu terasing daripada masyarakat Melayu Islam ketika itu seolah-olah cuba di biasakan oleh seluruh media pe ngampu BN.

Tilam diusung, sampel air mani, liwat serta pelbagai frasa lucah di mahkamah diharap dapat membunuh terus Anwar dari ka rier politiknya.

Hasilnya tidak begitu. Buat kali pertama dalam PRU 1999, Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor yang memimpin majoriti kerusi Melayu daripada kalangan pembangkang dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Majoriti orang Melayu mengundi untuk menolak BN. Jika tidak kerana sokongan pengundi Cina terhadap BN ketika itu, maka di atas kertas BN sudah tersungkur 14 tahun lebih awal daripada dijangkakan.

Mengikut logik akal, jika seseorang itu berjaya dibuktikan bahawa berkelakuan jahat apatah lagi dengan pembuktian di mahkamah maka pasti dia akan dibenci kerana kejahatannya. Dalam penghakiman manusia ia tidak semestinya begitu, malahan dalam kes Anwar apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Orang yang dituduh peliwat dan ejen kepada musuh negara (tuduhan ketika itu) mendapat simpati yang berlebihan daripada masyarakat sehinggakan pihak yang dianggap perancang konspirasi pula yang menerima padah.

Anwar terus bertahan selama 14 tahun sejak isu tersebut dan sehingga kini, belum ada manusia yang mampu menandingi keupayaannya menarik khalayak (crowd puller) yang luar biasa. Kehadiran orang ramai untuk seorang Perdana Menteri mungkin juga ramai tetapi tanpa kerahan tenaga, paksaan dan upah maka ketua cawangan Umno pun belum tentu sudi hadir.

Kegagalan BN dalam memanipulasi isu lucah dan fitnah lucah tidak pernah menyerikkan mereka.
Satu demi satu babak cerita lucah yang kesemuanya dipalitkan kepada tokoh Pakatan Rakyat, terus disebarkan secara bersiri. Istiqamah sungguh mereka dengan jajaan cerita lucah sehingga parti yang mereka dukungi mendapat jolokan nama Umporno.

Adakah perbuatan mengaibkan orang boleh menyebabkan kebencian terhadap sasaran itu meningkat? Hakikatnya, dalam masyarakat manusia bertamadun ramai yang akan merasa tidak selesa dengan pendedahan yang memalukan. Bagi manusia yang rasio nal, mereka lebih terganggu dengan pendedahan aksi memalukan dari memikir benar atau palsu pendedahan tersebut.

Apatah lagi bagi golongan wanita dan orang-orang yang warak. Dalam kelompok masyarakat ada golongan dewasa dan kanak-kanak. Orang dewasa tidak selesa jika anak-anak mereka didedahkan dengan cerita lucah.

Susah hendak menjelas apabila kanak-kanak bertanya lebih lanjut.

Tidak pelik jika penyebaran satu demi satu isu kelucahan melampau yang cuba dikaitkan dengan pemimpin Pakatan akan menyebabkan kebencian terhadap pihak lawan Pakatan yang bertambah, sedangkan mangsa yang diaibkan akan terus mendapat simpati.

Hari ini pihak tertentu terus mengeksploit isu lucah sebagai cubaan menambah undi dalam PRU.

Cakera padat lucah disebarkan di tempat-tempat terbuka dan di alam maya. Ia mudah diakses walaupun oleh kanak-kanak. Akhlak para remaja yang terpengaruh dengan kandungan video seperti itu akan rosak. Mereka tidak peduli bahana kehancuran akhlak dalam masyarakat. Apa yang penting ialah undi. Undi dan kuasa adalah segalagalanya.

Pihak polis mampu bertindak jika memilih untuk mengambil tindakan terhadap penyebaran bahan terlarang seperti itu tetapi mereka kelihatan lebih selesa untuk mendiamkan diri. Ini situasi biasa di Malaysia, jika ia babitkan pemimpin Pakatan maka sepantas kilat siasatan dan dakwaan dibuat, macam kes Mohamad Sabu dan Tian Chua.

Di kalangan BN sendiri, terdapat golongan yang sedar kesan buruk apabila memanipulasi isu lucah untuk mengaibkan orang lain. Ia tindakan yang memakan diri sendiri. Malangnya BN didominasi golongan yang akan mengeksploit apa saja yang terlintas di hadapan mata untuk memburukkan pihak lawan sehingga masyarakat melihat BN dan fitnah lucah adalah sinonim.

Zaman ini adalah era di mana rakyat berani menolak BN atau sekurang-kurangnya bersikap kri tikal.

Rakyat tidak takut untuk berkata tidak terhadap sebarang dakyah BN, berbanding dahulu di mana majoriti rakyat menelan bulat-bulat segala propaganda me reka. Nampaknya setiap kali munculnya video lucah, yang terpaksa berpencak mempertahankan diri ialah BN dan kaji selidik yang dibuat selepas itu menampakkan kesan yang negatif terhadap BN.

Logiknya, apabila seseorang atau sesuatu pihak dibuktikan jahat apatah lagi melalui bukti video maka tertolaklah orang itu. Dalam politik, logik itu tidak terpakai.

Apabila media BN memburukkan peserta himpunan Bersih, kaji selidik yang dibuat oleh Yahoo menunjukkan majoriti rakyat menyalahkan pihak polis.

Sama saja untuk isu video lucah fitnah bersiri, sehingga kini ia tidak memihak kepada BN. Malah ia mungkin pula akan meningkatkan peratusan rakyat yang menyokong Pakatan. Pihak lawan yang mencipta video, Pakatan pula yang dapat faedah.

Tiada ulasan: