HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 April 2013

Roket mendarat di bulan: Kenangan manis zaman berzaman

Ahmad Lutfi Othman,

Kolum ini mesti disiapkan selewat-lewatnya pada malam Sabtu, walaupun Harakah akan berada di pasaran dua hari selepas itu, pagi Ahad. Maknanya, perjalanan penamaan calon pada Sabtu tidak sempat kami laporkan, ketika tumpuan difokuskan kepada kontroversi penggunaan logo DAP, sama ada dibenarkan memakai lambang roket atau simbol PAS di Semenanjung dan KeADILan di Sabah, Sarawak.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 19 April, berkata surat kebenaran telah ditandatangani oleh PAS dan KeADILan. Keputusan itu sebenarnya lebih awal diumumkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh, ekoran tindakan mengejut Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkaitan penggantungan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata: "Saya telah tandatangan semua watikah untuk calon DAP."

Sesungguhnya kesediaan DAP  menggunakan simbol bulan telah melakar sejarah menarik politik Malaysia,  walaupun mungkin ia dibenarkan juga memakai logo roket. "Khabar ini cukup menggembirakan saya," kata seorang veteran PAS, 63 tahun. "Selama ini pelbagai momokan direka untuk mengeruhkan hubungan PAS-DAP, tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati pemimpin kedua-dua parti, ada hubungan sentimental dan akrab," tambahnya. "Berita petang Jumaat itu saya kira petanda potensi gemilang Pakatan Rakyat dalam PRU13."

Bayangkan, jika DAP terpaksa bersimbolkan bulan, pada malam keputusan PRU13, deretan "calon-calon PAS" akan diisytihar menang, dari Gelang Patah ke Bukit Bintang, turun ke Ipoh Timur dan melewati Jelutong! Kesimpulan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyentuh hati: "Yakinlah, keputusan ini (kesediaan DAP menggunakan logo PAS) membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!"

Secara peribadi, saya melihat polemik ini mempunyai impak positif, terutama dalam menyuburkan, atau mempercepatkan budaya politik baru di Malaysia. Selepas BN menerima kejutan tsunami politik Mac 2008, pemimpin Umno khususnya mengambil sikap melampau, dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh membakar sentimen perkauman atau keagamaan sempit.

Tanpa segan silu, media "talibarut" seperti Utusan Malaysia dan TV3, bagaikan menurut agenda dan skrip tertentu -- kadang-kadang saya merasakan ia seperti dipandu pasukan perisikan polis mahupun tentera -- dengan motif utamanya, untuk mengekalkan kuasa Umno-BN dalam PRU13.

Demi kuasa, segalanya mahu dipertaruhkan, termasuk keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama. Serangan terhadap kerajaan negeri Pakatan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perak, kebanyakannya bersumberkan isu "jadi-jadian" seperti berkaitan babi, yang sengaja diperbesarkan, dengan hasrat mempersepsikan Pakatan sebagai mengkhianati orang Melayu.

Ketika Umno-BN melangkah ke belakang, memakai baju perkauman dan mengamalkan politik adu-domba, parti-parti dalam Pakatan bersikap lebih terbuka, mementingkan permuafakatan, yang didahului tradisi rundingan dan saling memahami. Tiada lagi konsep dominasi dan ketuanan, yang selalunya berakhir dengan ketidakadilan dan kezaliman.

Malaysia sebenarnya terlalu kaya untuk dikongsi bersama seluruh warganya, tanpa mengira agama dan latar belakang, seterusnya menjadikan setiap rakyat dapat berteduh dengan aman, sejahtera dan gembira. Hanya ketamakan, kerakusan dan kecurangan elit politik serta senarai panjang kroni mereka yang menjadikan Malaysia di ambang kebankrapan. Emosi majoriti orang Melayu terus dipermainkan, seolah-olah tanpa Umno, kehidupan mereka yang sedia susah itu akan menjadi gela-gelita.

Kesediaan DAP menggunakan lambang bulan itu juga mengingatkan saya ketika berpanas bersama ribuan orang ramai yang menunggu pembebasan Lim Guan Eng di luar penjara Kajang, Ogos 1999, tiga bulan sebelum PRU10. Beliau dipenjarakan selama 18 bulan kerana membela seorang gadis Melayu. Buat pertama kali saya melihat seorang lelaki berserban, menunggang motor dengan isterinya yang bertudung labuh, dengan perwatakan seorang ahli PAS, mengibar bendera DAP. Wajahnya cerah dan ceria, tanda puas dan lega.

Saya masih bimbang isu perkauman, termasuk menggambarkan DAP sebagai musuh dan seteru utama orang Melayu, yang galak dicanang penceramah BTN dalam kursus membabitkan pegawai kerajaan dan pelajar universiti, akan memberi kesan buruk kepada Pakatan, yang pada masa sama cuba mempromosikan budaya politik baru. Namun, selepas meninjau situasi di lapangan, saya yakin rakyat yang begitu mendambakan perubahan dan muak dengan pemerintahan korup 57 tahun Umno, tidak akan mempedulikan "gangguan liar" itu.

Tulisan Arif Sabri Abd Aziz, calon DAP untuk kerusi Parlimen Raub, melalui sakmongkol.blogspot.com, banyak menyinggung hal ini. Dua tulisannya, "Membalun bersama BN", dan "Majoriti Melayu tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti jika melakukan perubahan", bagi saya, cukup relevan untuk diteliti. Arif Sabri berupaya menyanggah segala "pembohongan dan penipuan" yang selama ini berjaya menakutkan orang Melayu. 

Bekas Ketua Penerangan Umno Pekan ini merumuskan: "Orang Melayu di kampung tidak perlu takut dengan pertukaran kerajaan. Yang bertukar hanya pimpinan politik yang rasuah, kotor dan pembuli rakyat. Urusan berkerajaan tetap berjalan seperti biasa. Penjawat awam tetap penjawat awam -- SO, DO, pegawai  pejabat tanah dan daerah tetap dengan urusan mereka. Kita tetap bayar gaji dan elaun. Kita tetap memproses permohonan tanah hak milik dan tanah kependudukan sementara. Yang dah lama pegang tanah TOL dan mengusahakannya, kita beri hak milik kekal. Kita tak rampas punca rezeki orang. Polis tetap polis, askar tetatp askar. Yang diubah ialah kerajaan Umno-BN yang korup,  rasuah dan membuli rakyat."

Tiada ulasan: