HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 April 2013

"Umpama pergi ke Makkah tanpa melawat Kaabah"



Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN


Ahmad Lutfi Othman adalah nama besar dalam dunia penulisan, khususnya penulisan politik. Justeru, saya yang kerdil ini tidak mampu  memenuhi permintaan Lutfi mencatat sesuatu untuk bukunya ini. Apa pun amat susah untuk tidak memenuhi permintaan seorang sahabat yang saya amat hormati dan kagumi khususnya ketahanan beliau berjuang dalam dunia penulisan,  yang dilanda seribu satu rintangan dan halangan.

Saya mula kenali beliau semasa di universiti dulu ketika beliau agak baru dalam dunia penulisan. Saya masih ingat kami pernah mengadakan satu bengkel penulisan di mana beliau adalah salah seorang pembentangnya.

Pada ketika itu, saya sudah  mula menekuni tulisan-tulisannya yang tajam mengasak regim yang memerintah. Keberaniannya mendedahkan kezaliman dan kebobrokan rejim yang berkuasa ketika mana  kezaliman dan kebobrokan berada di kemuncak menarik minat saya membaca dan mengikuti kupasan-kupasan beliau.

Keindahan adunan dan permainan bahasa juga faktor kuat yang menarik para pembaca seperti saya untuk terus menerus membaca tulisan  Lutfi.

Siapa boleh lupa keupayaan dan keberanian beliau mendedahkan salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan mantan Menteri Besar Selangor.

Ketegasan Lutfi menentang kezaliman Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, sekali gus dilihat melancarkan "peperangan" dengan Kementerian Dalam Negeri yang amat berkuasa itu menjadikan Lutfi seorang ikon kebebasan media dalam kelasnya tersendiri.

Beliau turut mengasaskan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), yang giat mempromosi idea-idea kebebasan bersuara, di samping memperjuangkan  suasana lebih terbuka untuk wartawan berkarya, selain menerbitkan begitu banyak akhbar tanpa permit, menggunakan nama-nama berbeda.

Ramai yang berani  menulis namun tidak ramai yang berani mencabar secara berhadapan dengan karenah, birokrasi  dan kebiadapan KDN.

Ironinya "peperangan" Lutfi dengan KDN secara tidak langsung menarik saya ikut bersamanya ke gelanggang pertarungan antara David  dan Goliath tersebut.

Apabila kegilaaan rejim penguasa menyekat kebebasan bersuara dengan bertindak menggeledah, merampas , mengugut dan menangkap para pengedar akhbar-akhbar yang diterbitkan Lutfi, saya diberi penghormatan mewakili kepentingan beliau di mahkamah berlawan dengan pihak penguasa.

Ironinya, semakin ganas KDN bertindak semakin hebat pula Lufti meneruskan penerbitan akhbar "tidak berkala" dan semakin akrab pula hubungan kami. 

Saya sering teringat kata-kata Lutfi bahawa ancaman KDN tidak pernah melumpuhkan semangat dan kekentalan beliau, namun kegagalan ejen-ejen pengedaran bahan penerbitannya menjelaskan jutaan ringgit kutipan sedikit sebanyak berjaya melumpuhkan ketahanan beliau.

Saya percaya Lutfi bukan menulis kerana wang namun ketiadaan wang mampu menjejaskan kekentalan penulis, hatta kepada penulis berjiwa waja seperti beliau.

Sudah tentu kita bukan bercakap tentang pengumpulan harta daripada dunia penulisan sebaliknya berkaitan isu survival penulis seperti beliau, yang bertindak sebagai wartawan, editor sekali gus penerbit.

Lutfi bermula dari Harakah sejak mula dilancarkan pada 1987.  Dia berkhidmat seminggu sebelum Harakah keluaran sulung dipasarkan.

Meskipun pernah berpisah dengan Harakah beberapa kali untuk mengusahakan penerbitan sendiri, namun akhirnya beliau kembali juga ke akhbar PAS tersebut.

Sentuhan beliau di Harakah masih berbisa. Bicara katanya di Catatan Hujung akhbar itu, saya percaya, sentiasa dinanti oleh para pembaca setia Harakah. Membaca Harakah tanpa membaca Catatan Hujung ibarat, seperti meminjam kata-kata Pengerusi Tetap Muktamar PAS, Ustaz Abu Kasim Abdullah, "pergi ke Makkah tanpa melawat Kaabah".

Pembukuan koleksi Catatan Hujung (dengan judul Pencuri Pilih Anjing, ketebalan 400 halaman lebih) kini di hadapan para pembaca sekalian.

Mereka yang dahagakan kupasan, telahan, analisis, kritikan dan ramalan politik perlu memiliki buku ini.
Saya masih ingat pengalaman  seorang wartawan kanan akhbar berbahasa Inggeris di negara ini menemuramah Tan Sri Anuar Zainal Abidin, mantan Hakim Besar Malaya yang juga bekas Pesuruhjaya Suhakam.

Ketika penganalisis politik terkenal ini  berkunjung ke rumah Anuar,  tokoh besar itu sedang membaca buku Lutfi berkaitan pemecatan  mantan Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom, berjudul Mufti Lawan Mahathir. Lihatlah segmen pembaca yang membaca tulisan Lutfi!

Penerbitan buku ini saya percaya dapat membantu rakyat Malaysia memahami dengan lebih baik perkembangan politik negara ini yang kita tahu penuh dengan pelbagai warna dan variasi.

Siapakah yang lebih baik mengupas segala perkembangan tersebut jika bukan penulis seperti Ahmad Lutfi yang saya percaya menghabiskan sebahagian besar hidupnya meneliti dan menganalisis politik tanah air?

Keistimewaan Catatan Hujung adalah ia bukan sahaja bersifat satu dimensi iaitu dengan hanya bersifat kritikal kepada BN semata-mata, sebaliknya kritikan dan sanggahan juga dibuat ke atas  Pakatan Rakyat.  Kewujudan dua dimensi ini menjadikan buku ini istimewa untuk dimiliki dan ditatapi.

Untuk sahanbatku Ahmad Lutfi, saya mendoakan agar beliau terus istiqamah menulis dan mendidik rakyat agar kefahaman bahawa politik itu kotor dapat dihapuskan dari minda masyarakat yang fobia dengan istilah keramat itu.

Moga Allah menjadikan usaha beliau ini sebagai amal soleh, insya-Allah.

Hanipa ialah AJK PAS Pusat dan pengamal undang-undang yang banyak menjuarai kes kebebasan bersuara. Buku PENCURI PILIH ANJING ini boleh dipesan terus dengan bank-in RM34.00 (termasuk kos pos laju) ke akaun Maybank Ahmad Luqman Hakim 162179670906 dan emelkan nama dan alamat penuh ke lutfi_detik@yahoo.com

Tiada ulasan: