Manifesto: Ibu tunggal disaran segera daftar
Rodziah (depan,tengah) menyarankan ibu tunggal segera mendaftar skim-skim ditawarkan kerajaan negeri.
 
SHAH ALAM - Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail menyeru 2,020 ibu tunggal yang menyaman kerajaan negeri sebelum ini untuk segera mendaftar skim ditawarkan sekiranya belum berbuat demikian.

Rodziah berkata, sekiranya proses tapisan dibuat mendapati ibu tunggal tersebut layak maka mereka dapat menikmati skim-skim ditawarkan kerajaan negeri.

“Kita (kerajaan negeri) menyeru 2,020 ibu tunggal supaya segera daftar jika belum dan akan diproses pendaftarannya.

“Bagi yang sudah dan didapati layak akan diberi skim perkhidmatan untuk dimanfaatkan,” katanya pada sidang media di Sidang Dun di sini, semalam.

Sebelum ini, ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan kes saman ibu tunggal terhadap kerajaan negeri dibatalkan pada 13 Mei lalu.

Ia kerana penyelesaian tuntutan terhadap tawaran manifesto politik tidak boleh menerusi proses mahkamah.

Menurutnya, pelbagai kes lain dibawa ke mahkamah terhadap kerajaan negeri ‘dilenyapkan’ selepas PRU13.

Katanya, tindakan itu dianggap sebagai provokasi politik bertujuan mencemar imej kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kerajaan negeri sedang menyemak status permohonan mereka untuk pelbagai skim dan tawaran kepada ibu tunggal.

“Ada antara mereka pernah menyertai skim Jom Shopping serta menerima bantuan kewangan untuk pelbagai tujuan.

“Penegasan kerajaan negeri mengenai dasar kebajikan kepada berpendapatan sentiasa menjadi asas kepada peruntukan dan belanjawan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk golongan ibu tunggal,” katanya.