Mohd Azizuddin Mohd Sani


SHAH ALAM - BN telah berjaya memberi tekanan kepada calon PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila meletakkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Mei Fun yang juga seorang tokoh nasional mempunyai penyokong tersendiri dan mampu memberi saingan hebat kepada Anwar sekaligus menolak persepsi awal BN tidak perlu meletakkan calon.

Menurutnya, pemilihan calon yang dilakukan BN mampu menarik kumpulan sasaran di kawasan Kajang terutamanya kaum Cina dan wanita.

Hal ini katanya, memberi tekanan kepada Anwar yang diharap mampu melakukan penambahan majoriti untuk membuktikan ketua pembangkang itu disukai dan mempunyai kredibiti di kawasan tersebut.

"Kedua-dua parti perlu berkerja kuat, walaupun agak terlambat BN mengumumkan calon namun mereka masih ada peluang untuk menang jika kempen yang dilakukan betul dan berkesan.

"Calon BN ini memang memberi kesan kepada Anwar. Anwar sekarang berada dalam situasi tertekan untuk menang majoriti lebih besar di situ sekaligus untuk membuktikan beliau pemimpin yang hebat.

"Namun Mei Fun ini juga ada penyokong 'hardcore' dan jika dia berjaya berkempen dengan betul, kemungkinan dia boleh menang dengan menarik kaum Cina dan wanita yang mempunyai kecenderungan untuk memilih calon wanita juga," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Tambahnya lagi, sekiranya PR menganggap calon BN mudah ditewaskan dan tidak perlu bekerja keras, mereka adalah silap.

"Memang silap besar kalau mereka memandang enteng calon BN ini.

"PR juga perlu berjaga-jaga walaupun BN kata calon mereka 'underdog'," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan BN tidak perlu bertanding pada PRK Dun Kajang, jika tidak mahu dilihat 'menari mengikut paluan gendang PKR'.

Beberapa ahli politik dan penganalisis politik berpendapat BN perlu membuat kajian mendalam agar tidak terperangkap dalam permainan politik Anwar yang juga Ketua Umum PKR.

Bagaimanapun, pada Jumaat, BN telah mengumumkan Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA sebagai calon mewakili parti komponen itu.

Dalam pada itu, Azizudin yang juga Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, persepsi pengundi terhadap calon boleh berubah dan cenderung menukar keputusan berdasarkan kempen yang dilakukan oleh calon di situ.

"Walaupun sudah ada 60 peratus pengundi yang telah ada calon pilihan namun ia mampu berubah bergantung kepada kempen.

"...terutamanya pengundi muda yang banyak melakukan pemerhatian dan tidak mempunya calon pilihan," katanya.