HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Februari 2014

Berpisah bukan pilihan, reaksi pemimpin Sarawak terhadap ‘hasutan’ di Facebook

OLEH DESMOND DAVIDSON

































Para pemimpin Sarawak sedang memikirkan cara untuk mengurangkan kemarahan yang semakin membahang di kalangan negeri-negeri Borneo terhadap sentimen anti-Kristian dan anti-Malaysia Timur di Semenanjung tetapi mengingatkan tuntutan untuk keluar daripada Malaysia boleh dianggap sebagai suatu pengkhianatan.

Menteri kanan kabinet Sarawak Tan Sri Dr James Masing (gambar) berkata tidak sepatutnya terdapat kata-kata berkenaan pemisahan sebagaimana yang dibincangkan oleh laman Facebook yang dibuat oleh penduduk Sabah dan Sarawak.

"Jangan bercakap tentang pemisahan. Mana-mana usaha ke arahnya adalah salah," kata beliau ketika diminta mengulas mengenai saranan untuk pemisahan, dan juga kewujudan sentimen anti- Sabah dan Sarawak daripada masyarakat dari Semenanjung.

Amaran yang sama juga dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar), berkata rakyat harus "tidak melepasi batasan” apabila menulis status atau posting di media sosial.

"Kerajaan boleh bertolak-ansur dengan hampir apa-apa tetapi jangan mengapi-apikan, menghasut atau mengkhianati,"tegasnya.

Wan Junaidi berkata, sikap menghasut atau mengapi-apikan isu hanya akan menyebabkan perpecahan dan pergeseran antara kaum dan agama di mana kerajaan tidak akan bertolak-ansur.

"Kami tidak mahu masyarakat berbilang kaum, berbilang budaya dan agama hancur berderai. "

Masing dan Wan Junaidi merujuk kepada, antara lain laman Facebook bertajuk "Sarawak Ke Arah Referendum" yang memberi reaksi kepada gambar dengan penyataan "Ambil kembali negara kami.”

Membalas kenyataan penduduk Sarawak yang menyemarak, terdapat komen yang menulis, “Jika anda fikir anda boleh, anda akan mencapainya. Mungkin rakyat Sabah akan belajar daripada kejayaan anda.”

Satu lagi posting Facebook bertarikh hari kemerdekaan: "Malaysia Barat sentiasa menyambut 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan mereka, dan tidak pernah benar-benar menganggap 16 September sebagai Hari Malaysia.

"Mungkin sudah tiba masanya Sarawak dan Sabah meninggalkan Malaysia dan mempunyai Hari Kemerdekaan sendiri seperti yang dilakukan Singapura pada tahun 1965. Jika Singapura boleh melakukannya, Sarawak dan Sabah boleh melakukannya! "

Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, mengakui beliau kadang-kadang bersikap kritikal (terhadap kerajaan persekutuan ) tetapi berkata "ia adalah untuk menjadikan persekutuan lebih baik, bukan untuk merosakkannya".

"Berkenaan (pemisahan) saya tidak bersetuju. Saya kadang-kadang bersikap kritikal terhadap cara dan dasar kerajaan persekutuan menangani isu Allah.

"Tetapi ia tidak untuk menjatuhkan persekutuan," kata Masing di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Kuching.

Wan Junaidi, yang juga berada di rumah terbuka itu berkata, orang ramai tidak seharusnya menyalahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan.

"Anda bebas mengatakan apa yang anda suka, bercakap apa yang anda mahu bercakap, semua yang anti pelbagai perkara dalam Facebook, Twitter, blog atau lain-lain media.

"Cuma jangan melepasi garisan yang ditetapkan,” katanya mengingatkan. "Anda tidak boleh memiliki kedua-duanya."

Beliau berkata, kementeriannya sedar tentang aktiviti di ruang siber dan bersama-sama dengan pihak polis, memantau mereka.

"Apa sahaja yang sedang berlaku di negara ini, kami dimaklumkan. Kami menyedarinya.
"Kami memantau, mengumpul maklumat dan bukti."

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, polis masih belum membuat sebarang tangkapan.

"Bukan semua perkara memerlukan penangkapan segera, penyitaan atau penahanan."

Beliau berkata, kadang-kala polis akan memberi amaran agar penggendali laman Facebook atau blogger yang dipantau agar jangan keterlaluan.

Menurutnya, tindakan yang terlalu tegas oleh pihak polis tidak disenangi rakyat.

"Jika polis diberi kuasa yang lebih besar, orang ramai akan mula menempelak dan mengatakan kami kejam.

"Oleh itu, kita memberi sedikit kelonggaran tetapi jangan melampaui batas itu."

PAS Sabah membuat laporan polis dua hari lepas terhadap laman Facebook yang mengejek agama Kristian dan Malaysia Timur.

Beberapa keping gambar mengejek agama Kristian, termasuk seekor katak dipaku ke salib, yang muncul di laman Facebook itu menimbulkan kemarahan ramai penduduk Sabah dan Sarawak.

Penggendali laman berkenaan dikenal pasti sebagai "Semenanjung Malaysia Anti Sabah dan Sarawak".

Tiada ulasan: