Ribuan lubang selepas hujan lebat berlarutan beberapa minggu lalu namun belum ditampal atau ditutup.
KOTA KINABALU : Bandaraya Kota Kinabalu bakal merayakan ulang tahun ke-14 pada 10 Februari ini, namun keadaan kurang memuaskan, terutama sekali jalannya berlubang-lubang selain masih belum ada terminal bas.
Ribuan lubang muncul selepas musim hujan lebat berlarutan beberapa minggu lalu namun lubang-lubang berkenaan belum ditampal atau ditutup.
Pemandu kereta berang terutama bila “termasuk” ke dalam lubang berkenaan.
Keadaan jalan yang berlubang tiap kali selepas musim hujan adalah lumrah namun biasanya secepat kilat lubang-lubang berkenaan diturap tapi kali ini masih terlallu banyak lubang termasuk di tengah-tengah bandaraya.
Yang menyelamatkan “keadaan” ialah kebanyakan jalan dalam bandaraya sentiasa sesak dan ini memperlahankan kenderaan, jika tidak, nescaya kenderaan rosak bila terjatuh ke dalam lubang dalam keadaan dipandu laju.
Tambahan pula, bandaraya Kota Kinabalu kini merupakan bandaraya paling banyak lampu isyarat dan bulatan kecil di Malaysia. Ini memperlahankan lagi pergerakan kenderaan.
Beberapa bulan kebelakangan ini semakin banyak lampu isyarat telah didirikan.
Bekas KM tegur
Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh, beberapa tahun lalu pernah menegur kenapa begitu banyak lampu isyarat di Kota Kinabalu sehinggakan ada lampu-lampu isyarat berkenaan terletak dalam jarak amat berdekatan iaitu kurang dari 100 meter antara satu sama lain.
“Kita baru nak memandu naik gear tiga sudah lampu merah balik…” katanya ketika itu.
Hari ini, tentu Harris lebih terkejut lagi sebab semakin banyak lampu isyarat didirikan dan tiada jalan sehala yang baru telah dibuat serta tiada alternatif sistem pengangkutan diperkenalkan.
Baru-baru ini pula Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk John Anthony, merungut JKR negeri “kekurangan” kira-kira RM2 bilion untuk kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf jalan-jalan negeri yang ada.
Timbalan Ketua Perhubungan Umno Negeri pula, Datuk Salleh Said Keruak, telah berulang kali menyeru Kerajaan Persekutuan menyalurkan terus dana pembangunan untuk Sabah kepada kerajaan negeri dan bukan melalui jabatan-jabatan persekutuan.
Ketiadaan kompleks terminal bas yang sempurna dalam bandaraya juga menjadi “mercu tanda” Kota Kinabalu sekian lama — 14 tahun selepas diisytihar bandaraya, ia masih belum berjaya membina sebuah pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan