Penamaan calon bagi PRK Kajang akan diadakan pada 11hb Mac dan hari mengundi telah ditetapkan pada 23hb Mac nanti. Itu adalah keputusan yang diambil oleh SPR dalam mesyuarat mereka pagi tadi. Berbeza dengan PRK yang lepas-lepas PRK kali ini akan diadakan agak lama sedikit selepas kerusi kawasan itu dikosongkan oleh penyandangnya. Tetapi itu tidak ada hal kerana ia tetap berada dalam lingkungan 60 hari selepas kekosongan kerusi itu seperti yang telah ditetapkan oleh perlembagaan negara.
Setakat ini kita belum ketahui
siapa yang akan dinamakan sebagai calon bagi BN, tetapi kita semua telah
difahamkan yang Ketua Pembangkang DSAI akan bertanding sebagai calon dari
Pakatan Rakyat. Tetapi apa pun kita berharap PRK kali ini bukanlah pilihanraya
yang berunsurkan pilihanraya yang tidak beretika dan ia menjadi pilihanraya
yang mampu menunjukkan sikap kematangan yang tinggi. Boleh berkempen tetapi
berjanjilah ia hanya sebagai tindakan untuk mengisi kekosongan kepada kerusi
N23 Kajang itu sahaja.
Kerusi itu dimenangi oleh Pakatan
dalam pilihanraya yang lalu, maka jika kerusi itu kembali kepada parti yang
menyandang pun ia merupakan satu keputusan yang tidak mengejutkan. Ia akan
hanya menjadi kejutan jika ketua pembangkang itu tewas kerana beliau adalah
calon dikenali semua orang dalam negara ini. Bagi BN tidak salah untuk berusaha
untuk mendapatkan kemenangan, tetapi orang ramai berharap pilihan kali ini
biarlah didasarkan kepada isu yang bersangkutan dengan isu kenegaraan dan
bukannya membawa kecenderungan untuk berkempen menghentam peribadi yang tidak
beretika.
Apa yang kita dengar semalam agak
merunsingkan apabila Nalla Karupan memberikan tawaran beliau untuk menjadi calon
bagi BN untuk mengelakkan diri beliau dari terjun sebagai calon bebas. Nalla
bukan calon yang serius dan beliau telah tunjukkan sikap tidak matang beliau
dalam persidangan media beliau semalam.
Beliau mendabik dada yang
beliaulah calon yang terbaik untuk menentang Anwar Ibrahim kerana beliau
mengaku segala rahsia Anwar ada di dalam poket beliau. Kita tidak boleh
mendengar kata-kata Nalla ini kerana beliau mahu menjadi calon itu untuk
menelanjangkan musuh peribadi beliau itu yang pernah menjadi kawan rapat beliau
suatu ketika dahulu.
Tindakan Nalla itu hanyalah
tindakan yang tidak bermoral kerana niat beliau bukan untuk kepentingan negara
tetapi hanya keuntungan untuk peribadi beliau semata-mata. Kita yang sibuk
membuat ‘self searching’ sebegitu lama tentang masalah negara tetapi beliau
memberikan fokus untuk kepuasan kehendak hati beliau semata-mata.
Apa dia yang beliau katakan
rahsia Anwar yang berada dalam poket beliau itu? Jika itu cara beliau berkempen
jika menjadi calon tentulah beliau akan menelanjangkan perkara buruk yang beliau
sama-sama lakukan semasa bersahabat dahulu. Beliau sendiri lupa dengan membongkar
rahsia yang mereka lakukan ia juga akan membongkar perbuatan beliau sendiri.
Kita tidak tahu apa pegangan Nalla
Karupan itu, tetapi tindakan menzahirkan aib sendiri itu sudah semestinya tidak
melayakkan beliau diyakini untuk menjadi wakil kepada rakyat dan menjadi
pemimpin kepada rakyat biasa seperti kita semua ini.
Sepatutnya jika beliau telah
melakukan apa yang beliau akui dilakukan bersama Anwar, adalah menjadi tugas
moral beliau untuk menutupi aib mereka. Membuka aib sendiri itu lebih buruk
dari membuka aib orang lain, walaupun kedua-duanya adalah sama kategorinya.
Saya berharap Nalla menjadi
dewasa sedikit kerana adalah tidak adil jika perkara yang dilakukan bersama
sebelum ini dijadikan isu terhadap kawan yang kini menjadi lawan itu. Jika Nalla
boleh lakukan kepada Anwar tidak ada sebab beliau tidak boleh lakukan kepada
orang lain.
Apa yang kita harapkan agar BN
carilah calon yang lebih beretika untuk menjadikan pilihanraya kecil ini
sebagai pilihanraya yang serius untuk kepentingan negara dan bukannya untuk
dijadikan pesta mengaibkan orang yang pernah memberikan beliau makan dan
bersama-sama menikmati apa yang akan dilambakkan oleh Nalla jika beliau menjadi
calon BN dalam PRK ini.
Kepada kepimpinan BN, elok
diambil perhatian untuk menjaga keperibadian sebagai parti yang memerintah.
Lagi pun keputusannya adalah ‘predictable’ dan tidak payah dijadikan PRK ini
sebagai PRK yang hangar- bingar dengan isu peribadi.
Niat dan tujuan Nalla dalam PRK
ini tidak dapat di terima oleh sesiapa yang bermain dengan demokrasi moden
kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan