Oleh Aspan Alias
PKR dan Anwar menganggapkan apabila memenangi PRK Kajang yang bakal berlangsung itu, ia akan memperkuatkan kedudukan beliau dalam perjalanan yang berliku ke Putrajaya, cita-cita yang tidak pernah padam dalam jiwa beliau sejak dahulu lagi. Perjalanan beliau ke Putrajaya yang sudah hampir ke garis penamat, tetapi telah tersekat oleh kerana disekat oleh Dr Mahathir pada tahun 1998 dahulu. Beliau dipecat dari parti dan jawatan beliau pada 2hb September 1998 oleh bos beliau sendiri.
Sekarang Anwar terpaksa kembali ke garisan permulaan semula dan tidak siapa tahu samada beliau akan berjaya atau akan gagal ke Pejabat Perdana Menteri, pejabat idaman beliau itu. Beliau tahu jika beliau duduk dalam Pejabat itu beliau akan mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia, jawatan yang boleh memenjarakan atau melepaskan sesiapa dari penjara kepada sesiapa yang beliau suka. Jawatan PM Malaysia itu lebih hebat dari kuasa yang ada kepada Presiden Negara Amerika Syarikat.
Apabila sudah berada disana beliau boleh membalas kembali tindakan oleh
sesiapa yang beliau anggap telah membantut usaha beliau untuk ke mercu
kuasa suatu ketika dahulu. Beliau telah melakukan banyak perkara dan
kaedah untuk menuju ke puncak idaman beliau itu dan yang terakhir ini
ialah untuk duduk dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, dan jika di
perkenankan Tuanku Sultan beliau mahu menjadi Menteri Besar Negeri
terkaya ini.
Tindakan beliau untuk mendapatkan kemahuan beliau itu tidaklah tindakan
yang salah. Hidup hanya sekali, dan menjadi Perdana Menteri itu juga
adalah sekali, melainkan ada beberapa tokoh didunia yang menjadi PM
lebih dari sekali. Dari segi demokrasinya sememangnya tidak ada langsung
kesalahan beliau bertindak meminta seorang ADUN Kajang itu turun untuk
memberikan laluan untuk beliau menawarkan diri untuk mewakili kawasan
itu. Undang-undang pun tidak mencegah beliau mengambil tindakan itu.
Tetapi dalam politik selalunya orang tidak hanya bersandar kepada
undang-undang sahaja. Dalam demokrasi ada elemen moralnya juga dan ia
perlu diambil kira kerana yang hendak ditadbir oleh demokrasi itu adalah
manusia, kejadian Tuhan yang tidak statik. Manusia bukan sebagai
makhluk yang lain seperti batu yang besar yang susah untuk dianjak dan
dialih.
Manusia tidak seperti haiwan yang boleh dikurung dan disembelih dan
dijadikan masakan dan hidangan yang enak-enak dan juga tidak boleh
dianggap sebagai angin dan membiarkan sahaja ia berlalu tanpa diambil
perhatian. Hanya jika dipandang dari sudut moralnya tindakan Anwar itu
boleh dipersoalkan kerana kawasan itu baru juga menghadapi pilihanraya
umum seperti juga kawasan-kawasan lain pada mei tahun lepas.
Ia terjadi semata-mata kerana kemahuan Anwar yang di galakkan oleh
beberapa orang pemimpin di dalam PKR yang agak bercita-cita tinggi
sambil mengaku yang beliaulah yang bertanggungjawab yang menyebabkan
Anwar bertindak demikian. Dalam usaha melaksanakan apa yang dikatakan
strategi jalanan ke Putrajaya Anwar itu ia telah mengusik dan meluluhkan
perasaan beberapa orang pemimpin yang lain dalam parti itu. Ia juga
telah mengusik dan memilukan pimpinan sebuah parti yang lain dalam
Pakatan itu.
Segala yang baik sudah dianggap buruk. Dimana-mana pujian kepada TS
Khalid sebagai seorang Menteri Besar yang mempunyai ‘consequence’ yang
besar dalam memberikan pentadbiran yang bersih dan berjaya, telah
dianggap sebagai buruk sebaik sahaja Anwar mengumumkan bertanding di
Kajang dan mempunyai kecenderungan untuk menurunkan Khalid dan jawatan
MB itu diambil alih oleh Ketua Pembangkang itu. Ada sahaja kesalahan
Khalid sekarang ini.
Sekarang ini berbagai-bagai alasan sedang dikilang oleh mereka dalam
PKR itu sendiri untuk memberikan keyakinan ramai yang Khalid sudah tidak
berguna lagi dan cara penyelesaiannya ialah dengan Anwar sendiri
mengambil alih jawatan itu untuk mendiamkan mana-mana pihak yang
mengidamkan jawatan MB itu termasuk Azmin sendiri.
Bagi Azmin agaknya ini tentulah jalan terbaik baginya kerana beliau
tidak mahu Khalid berada di kerusi MB itu berterusan. Beliau boleh
menerima Anwar duduk ditempat itu dari melihat Khalid yang beliau tidak
sebulu sejak dari dulu lagi terus menduduki jawatan MB itu. Bak kata
orang tua-tua dahulu tindakan Azmin bersetuju Anwar menjadi MB itu,
adalah seperti ‘mati bawa najad’. ‘Asalkan sahaja Khalid tidak lagi
berada di sana biar Anwar yang ambil alih. Aku tak dapat kau pun kena
berhenti’.
Anwar mengambil kesempatan ini secara ‘expedient’ dan ia menepati
strategi beliau hendak melangkah ke Putrajaya nanti. Itu matlamat beliau
dan itu ‘ultimate’ bagi beliau. Samada cita-cita beliau itu berjaya di
perolehi, itu terpulanglah kepada Maha Penentu, kerana seseorang itu
boleh merancang, Maha Penentu juga yang akan meletakkan siapa di tempat
idaman banyak pemimpin itu.
Banyak faktor penting perlu diingati oleh Anwar dan PKR dalam
perjalanan ke Putrajaya itu. Kita adalah manusia dan mempunyai roh
masing-masing yang merupakan bahagian yang akan menghadapi bahagia atau
celaka itu. Kita di pengaruhi oleh dosa dan pahala dan kita yang
sebenar-benarnya kita itu ditadbir oleh semua elemen yang ini. Semua
orang percaya kepada isu ini, melainkan mereka yang tidak mahu percaya
apa yang disebut oleh agama masing-masing.
Dalam bahasa Inggeris ada perbilangan, ‘what goes around comes around’
dalam agama mana-mana sekali pun ada kepercayaan kepada elemen ‘cause
and effect’. Apa yang berlaku baik buruknya terbabit banyak isu kita
sendiri. Jika kita berjenis baik, maka ‘effect’ nya akan menjadi baik.
Begitu juga sebaliknya.
Saya menyebut isu ini supaya kita dapat menerima hasil tindakan kita
itu, sebagai kehendak Ilahi. Jika berjaya kita syukurinya dan jika gagal
kita anggap sebagai proses pembersihan terhadap diri kita sendiri dan
itu adalah yang paing baik sekali bagi seseorang manusia itu.
Jika kita dapat menerima hakikat ini maka kita akan bersyukur diatas
kejayaan kita dan jika gagal kita juga akan bersyukur kerana pembersihan
keatas diri kita sebagai ‘ultimate’ kepada perjuangan manusia yang
akhirnya akan mengadap yang Maha Esa di arash nanti.
Dalam kita mentarbiah secara zahiriah keadaan disekeliling kita itu,
kita juga berhak untuk memberikan ulasan terhadap sesuatu tindakan
manusia itu termasuk tindakan Anwar dan penyokong-penyokongnya itu. Ada
yang mengatakan ini akan mendapat kejayaan baginya dan ada yang berkata
yang ia akan terhempas sebelum terbang lagi. Masing-masing mempunyai
keupayaan berfikir dan ia mempunyai had keupayaannya. Ada telahan
masing-masing yang benar dan ada yang salah diakhirnya nanti.
Bagi diri saya secara hakikatnya saya percaya yang Anwar mempunyai
banyak isu lagi yang perlu beliau perbetulkan dan setakat yang beliau
lakukan sekarang ini, dalam pemikiran saya, tindakan Anwar ini tidak
akan membawa beliau kemana-mana. Ini pandangan saya dan saya tidak marah
kepada sesiapa yang mempunyai pandangan yang berlainan dari kepercayaan
saya ini.
Kita tidak perlu berbalah jika masing-masing menghormati pandangan
orang lain. Tidak salah jika orang lain merasakan yang Anwar akan
menjadi PM misalnya, tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza pula.
Itulah keadaan kita sesama manusia yang dijadikan oleh Tuhan sebagai
secantik-cantik kejadian ini. http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan