Mohd Nor Hamzah Mohd Nor Hamzah


MARANG – Pas Terengganu meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memansuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan bukan sekadar untuk dikaji semula kerana dilihat membebankan warga pendidik dan pelajar.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, PBS bertujuan mengimbangi pemarkahan secara fizikal dan mental bagi menilai IQ dan EQ iaitu sistem penilaian tidak berasaskan peperiksaan sahaja ataupun seperti dinyatakan KPM.

“PBS ini bentuk pendidikan holistik, namun pelaksanaannya yang begitu tunggang-langgang dilihat sebagai satu kegagalan.

“Paling bermasalah adalah sistem merekodkan butiran ataupun pencapaian pelajar menjadi antara punca utama beban yang tidak sepatutnya dikenakan ke atas guru,” katanya.

Kata beliau, ada guru yang terpaksa kerja sampai lewat malam atau bangun awal pagi untuk memasukkan data.

“Keadaan ini sudah pasti akan menjejaskan kualiti rehat guru, terutama bagi yang telah berkeluarga,” katanya.

Mohd Nor yang juga Adun Bukit Payong berkata, selain memberi bebanan kepada guru sistem itu turut terdedah pada ketidakadilan pemarkahan kepada pelajar.

“Antara lain ialah pemarkahan yang tanpa rujukan piawai oleh guru, tiadanya projek perintis tetapi perlaksanaannya terus ke seluruh negara, perbezaan soalan bagi mencapai 'Band' dan setelah tiga
tahun, penyeragaman masih gagal dilakukan oleh kementerian,” katanya.

Menurutnya, janji penambahbaikan oleh kedua-dua menteri pelajaran ditabur secukup rasa bagi menyedapkan hati pihak yang menolak perlaksanaan PBS yang dilihat menyusahkan itu.