Oleh : RAFIZI RAMLI
Keputusan kabinet Kerajaan Persekutuan untuk tidak menaikkan tol
tahun ini merupakan satu kejayaan kepada suara rakyat dan gerakan protes
yang terus membantah sebarang kenaikan harga.
Keputusan itu juga membuktikan bahawa pendirian KEADILAN selama ini
bahawa perjanjian konsesi yang telah memberi keuntungan besar kepada
pemegang konsesi wajar disemak semula berasaskan perkara-perkara
berikut:
1. Pemegang konsesi yang telah mendapat pulangan modal sepenuhnya
dari pelaburan tidak wajar terus mengenakan tol pada kadar yang tinggi
atas alasan ingin mendapat pulangan pelaburan
2. Perjanjian konsesi perlu dikemaskini dengan angka terbaru kadar
kenderaan yang menggunakan dan perbelanjaan pengurusan dan penyenggaraan
yang terkini supaya kadar tol yang disemak nanti bukanlah untuk memberi
keuntungan berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi
Sekiranya kedua-dua konsep mudah ini dilaksanakan di dalam rundingan
semula konsesi tol, sudah tentu tidak ada syarikat pemegang konsesi yang
mendapat kadar keuntungan sehingga 50% hingga 60% seperti sekarang.
Keuntungan yang berlipat kali ganda dari pelaburan dan kos ini
menunjukkan bahawa perjanjian konsesi sekarang benar-benar berat
sebelah.
Atas arahan kabinet sendiri agar rundingan semula perjanjian konsesi
dipertimbangkan, saya menyeru supaya matlamat rundingan semula itu
adalah untuk melaksanakan kedua-dua konsep di atas, bukannya untuk
memanjangkan lagi tempoh konsesi sebagai pampasan kepada arahan tidak
menaikkan tol.
Sekiranya perjanjian konsesi terus berat sebelah dan tidak mengambil
kira dua perkara di atas, saya yakin kita akan berdepan dengan kenaikan
tol dalam tahun 2015 pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan