LIM Ching Miau yang membintangi klip video kontroversi, Onederful Malaysia CNY 2014 yang dipanggil (di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah) ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, 10 Februari lalu untuk memberi kenyataan, menafikan wataknya, Puan Jit menyindir Datin Seri Rosmah Mansor.
Puan Jit, pakar feng shui ditampilkan sebagai wanita gemuk berambut tebal yang menggemari barang kemas dan beg tangan. Menurut Ching Miau, dia meniru Lydia Shum dan tidak tahu mengapa watak itu dikaitkan dengan Rosmah.
Ching Miau merasakan dia telah kelihatan seperti pelakon dan pelawak Hong Kong itu.
Katanya, dia telah menonton lakonan Lydia sejak kecil. Dua lagi pelakon klip video berdurasi hampir 12 minit itu turut dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat polis yang sama.
Watak-watak lain dalam Onederful Malaysia CNY 2014 termasuklah Brother Wai, lelaki yang cengeng, serta Cik Yan Yan, pakar dalam pelancongan dan feng shui. Mereka memberi nasihat dalam beberapa isu seperti keselamatan, kekayaan, pendidikan dan ekonomi – menjadi topik dengan anekdot biasa kepada rakyat Malaysia.
Antara lain, merujuk pada cincin berlian, beg tangan berjenama dan hartanah di New York serta beberapa berita lain yang berkaitan dengan pelancongan dan pendidikan vernakular.
Meskipun secara tidak langsung, penonton klip video yang diterbitkan oleh ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok itu dapat merasakan ia mungkin menyinggung Rosmah dan laporan pembelian pangsapuri berharga RM100 juta oleh anak tiri Perdana Menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz di New York.
Walau bagaimanapun, ia boleh dianggap sebagai “lebih sudu daripada kuah” sahaja. Onederful Malaysia CNY 2014 yang disiarkan melalui media sosial sempena Tahun Baharu Cina, 31 Januari lalu (turut menampilkan Teresa sebagai perantara) itu tidak menyebut individu tertentu, apatah lagi Rosmah.
Sikap “lebih sudu daripada kuah” boleh ditujukan kepada mereka yang melenting kerana Rosmah dan Dato’ Seri Najib Razak yang sepatutnya menjadi “siapa makan cili, dia terasa pedas” tidak memberi sebarang reaksi.
Langkah RTM menghentikan sementara penyiaran sitkom Cina yang popular, Kopitiam 88 dengan alasan untuk menyiasat kesahihan dakwaan pembabitan Ching Miau dalam klip video itu boleh dianggap lucu.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Norhayati Ismail, RTM memanggil penerbit Kopitiam 88 untuk mengesahkan pembabitan pelakon tersebut demi memastikan tiada pihak teraniaya atau digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Disiarkan pada setiap Isnin, jam 7 malam menerusi TV2, Kopitiam 88 mengetengah pelbagai isu semasa dalam kalangan masyarakat Cina berlatarkan sebuah kopitiam dengan konsep komedi bersahaja.
Tegas Norhayati, RTM akan mengkaji mana-mana rancangan yang mengaitkan pelakonnya dengan aktiviti yang memburukburukkan nama dan imej negara. klip video itu dianggap mencemarkan imej negara.
RTM, katanya, akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakon yang terlibat dengan penerbitan program sedemikian.
Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengumpulkan semua laporan polis dan mula menyiasat klip video itu.
Menurut Zahid, pihaknya menerima 300 laporan polis berhubung perkara itu daripada individu, NGO, dan pertubuhan lain. Tambahnya, SKMM juga memberi kerjasama memuat turun klip video itu, dan beberapa maklumat lain.
Tawaran sebuah NGO Islam bernilai RM1,200 kepada sesiapa yang dapat menampar Teresa.
Zahid menganggap tawaran itu bukan satu ancaman juga satu lagi reaksi menggelikan hati.
Mengulas hal itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar menggesa Najib memecat Zahid kerana sebagai seorang menteri, kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab – seolah-olah bercakap sebagai penaung Perkasa atau manamana NGO pelampau kaum.
Tegas Mahfuz, Najib wajar memandang serius kerana kenyataan itu boleh mencetuskan ketegangan umum dan menggalakkan perlakuan samseng dalam kalangan rasisme ekstrem. Beliau yakin apabila seorang menteri mengeluarkan kenyataan sedemikian, akan ada rakyat Malaysia yang bertindak dan kesan daripada tawaran itu tidak diketahui.
Menurut Mahfuz lagi, memberi tawaran wang ringgit kepada sesiapa yang dapat menampar seseorang tiada bezanya dengan menawarkan upah untuk membunuh.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berharap pihak berkuasa bertindak tegas kepada individu yang membuat tawaran tersebut dan lebih profesional dalam menjalankan tugas mereka sebagai penjaga keamanan negara.
Tambah beliau, kenyataan Zahid itu turut memberi imej buruk kepada Malaysia kerana pelancong luar akan menganggap unsur ugutan serta tawaran upah mencederakan seseorang bukan satu kesalahan di negara ini.
Perhimpunan sekumpulan NGO yang menyembelih ayam dan melumurkan darah haiwan itu pada poster beberapa pemimpin politik juga adalah reaksi kelakar. Bagi Presiden Majlis Peguam Negara, Christopher Leong, perbuatan itu mengancam ketenteraman awam.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak bertanggungjawab jika tiada tindakan diambil ke atas kumpulan terbabit. Bagi Majlis Peguam, demonstrasi oleh sekumpulan NGO itu termasuk merujukan pada peristiwa 13 Mei secara tersurat atau tersirat adalah provokasi.
Tambah Christopher, tindakan pihak berkuasa yang kini seolaholah mahu bertindak terhadap peserta perhimpunan itu juga dilihat seperti menggalakkannya pula. Dia percaya ada banyak imej perhimpunan itu dan tentu amat mudah bagi pihak berkuasa mengenal pasti pesertanya, lalu bertindak.
Dia turut “terkejut dan kecewa” dengan kenyataan Zahid yang menyifatkan ganjaran untuk menampar Teresa bukan satu ancaman. Katanya, kita tidak perlu menjadi saintis roket untuk mengetahui bahawa menampar orang adalah satu bentuk serangan dan kesalahan jenayah.
Justeru, Majlis Peguam menyeru pemimpin mempamerkan kepimpinan mereka dalam isu tersebut. Hanya menerusi kepimpinan yang adil, kata Christopher, kita mempunyai harapan untuk merungkaikan ketegangan. Berdiam diri atau bertindak tidak sewajarnya turut menyemarakkan ketegangan.
Zunar pula melihat ketakutan kerajaan Umno-BN terhadap satira politik, khususnya klip video itu membuktikan kerajaan minoriti tersebut dibina dengan perasaan “rendah” dan dipimpin oleh pemimpin yang lemah.
Tambah kartunis itu, dalam sebuah negara demokrasi, karya satira politik telah lama menjadi sebahagian daripada proses amalan demokrasi yang sihat. Karya itu sama ada kartun, teater atau video, ujarnya, berperanan penting menyalurkan penentangan, mendidik pembaca, dan menyediakan maklumat alternatif.
Jelas Zunar, sebagai contoh, ratusan kartunis politik Amerika Syarikat mengkritik Presiden Barack Obama setiap hari, tetapi beliau menghargai sumbangan mereka, malah ada kartunis yang diberi anugerah Presidential Medal of Freedom Awards dari Rumah Putih.
Menurut Zunar, Onederful Malaysia CNY 2014 sebenarnya tidak begitu lucu, tetapi tindakan kerajaan Umno-BN mendorong dia ketawa besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan