![]() |
Oleh Nurul Islam Mohamed Yusoff,
Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Meskipun usaha pencarian pesawat MH370 memasuki fasa yang lebih sukar yang menuntut fokus yang lebih jitu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berpendirian terdapat beberapa perkara penting yang memerlukan tindakan serta-merta khususnya apabila ianya melibatkan aspek pertahanan negara.
1.
Kenyataan YB Menteri dan Panglima TUDM bahawa pihak tentera
mengklasifikasi objek terbang yang dikesan oleh radar tentera yang telah
dikenal pasti sebagai MH370 sebagai "non-hostile" adalah satu kesilapan
strategik khususnya mengambilkira sensitiviti keselamatan pasca 9/11.
Apakah pertimbangan "sang akauntan" mengira kos operasi mengatasi
kepentingan keselamatan sehinggakan objek sebesar Boeing 777-200ER
dibiarkan terbang menghampiri kawasan penduduk berkepadatan tinggi
seperti Pulau Pinang dan Kota Bharu tanpa dipintas oleh skuadron Sukhoi
di Butterworth atau pasukan MIG29 di Kuantan yang terus pegun menanti
arahan? Kelemahan seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang. Kami
menggesa agar pegawai-pegawai yang terlibat di dalam proses membuat
keputusan tersebut dikeluarkan dari rantaian perintah serta-merta dan
audit menyeluruh dilakukan ke atas protokol pertahanan udara negara. YB
Menteri mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada rakyat bahawa
tindakan pembetulan telah dibuat dan dapatan dari audit itu kelak akan
dilaksanakan sebagai langkah nengembalikan kepercayaan rakyat terhadap
keselamatan negara yang asyik bocor sejak kebelakangan ini.
2.
Episod kita memerlukan tempoh 8 hari untuk memutuskan bahawa objek
terbang yang tidak dikenalpasti melintas Semenanjung Malaysia sebagai
MH370 dikala lebih 40 aset tentera dan awam dari lebih 12 negara
terbazir di lokasi yang salah adalah amat memalukan. Hatta dengan tempoh
sebegitu lama itu pun, kerajaan tidak dapat memastikan 100% objek
tersebut adalah MH370 dengan YAB Perdana Menteri sekadar menyebut "kadar
kebarangkalian yang tinggi". Sekiranya kerajaan memerlukan tempoh 8
hari sekadar untuk mencapai suatu keputusan berdasarkan kebarangkalian,
maka ada sesuatu yang tidak kena dengan tahap kompetensi dan karektor
sumber manusia yang terlibat di dalam keupayaan pertahanan negara dan
pengurusan kes kehilangan pesawat ini.
3. Terdapat
faktor "kesilapan manusia" dan "kelemahan pertimbangan" yang jelas di
dalam kes kehilangan MH370. Kesilapan-kesilapan ini akhirnya memaksa
kerajaan berkongsi maklumat sensitif dengan pihak asing lantas membuka
peluang kepada anasir berkepentingan untuk merungkai keupayaan
pertahanan udara negara. Keadaan ini sebenarnya telah menjejaskan
pelaburan rakyat berjumlah lebih 70 juta menaik taraf keupayaan radar
negara semenjak 10 tahun yang lalu. Persoalannya, adakah rakyat kini
terpaksa membayar 70 juta lagi sebagai harga dari jurang kompetensi yang
wujud untuk mengurus aset dan teknologi ketenteraan negara? Siapakah
yang harus dipertanggungjawabkan dalam hal ini?
4.
Pemuda PAS juga berpendirian keputusan menanggapi kesan perkongsian
maklumat sensitif radar hanya selepas permasalahan MH370 diselesaikan
sebagaimana yang dijelaskan oleh YB Menteri di dalam sidang media harian
beliau pada 17 Mac semalam sebagai satu lagi kesilapan. Keputusan
sebegini mencerminkan pendirian kerajaan bahawa faktor pertahanan dan
keselamatan negara boleh ditangguh-tangguhkan. Apakah kita benar-benar
kekurangan tenaga pakar sehinggakan tidak dapat membuat tumpuan segera
terhadap soal ini. Di dalam keperluan mendesak memastikan 239 penumpang
dan kru MH370 selamat pulang ke pangkuan tersayang, soal keselamatan 25
juta penduduk Malaysia juga tidak boleh mendapat keutamaan kedua.
Kami
oleh itu menggesa agar isu-isu pertahanan negara yang timbul kesan
dari pencarian MH370 ini ditangani segera tanpa lengah dan alasan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan