HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Jun 2014

'Mereka adalah saham akhirat saya'


Dari kiri: Mudzahir, Fauzi, Mariam dan Muzalifah ketika ditemui di Rumah Rakyat Repah, Tampin, semalam. Dari kiri: Mudzahir, Fauzi, Mariam dan Muzalifah ketika ditemui di Rumah Rakyat Repah, Tampin, semalam.


TAMPIN – “Anak-anak ini permata hati makcik. Mereka saham akhirat saya..." luah ibu tunggal, Mariam Abdul Kadir, 67.

Mariam cekal menguruskan anak-anak istimewanya sejak kematian suaminya, Kamaruddin Zainal Abidin, pada Mei 2010.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan pandangan serong masyarakat, warga emas ini tetap berjiwa kental dan bersemangat waja membesarkan tiga daripada empat anak OKUnya yang masih hidup.

Sewajarnya pada usia sepertinya itu, dia sudah boleh berehat dan hanya mengharapkan anak-anak menjaganya. Namun realitinya, setiap hari seawal pagi dia sudah bangun menguruskan mereka.

Empat daripada enam anak Mariam, iaitu Muzalifah, 38; Muhammad Waad (meninggal dunia pada 5 Disember 2010 ketika berusia 29 tahun); Mudzahir, 34; dan Muhammad Fauzi, 29, dikategorikan sebagai OKU lembam.

Ingat nasihat bekas mufti

Sejak awal dia sudah menghantar anak-anaknya ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tampin bagi mengikuti program-program yang disediakan di pusat berkenaan.

"Makcik masih ingat lagi pertemuan makcik dengan Mufti Negeri Sembilan (Datuk Syeikh Mohd Murtadza Syeikh Ahmad, yang kini sudah bersara) semasa majlis berbuka puasa di kediaman menteri besar. Dia bertanya bagaimana perasaan makcik menjaga empat anak OKU ini. 

"Makcik jawab, walaupun sukar, makcik tetap jaga mereka kerana mereka adalah darah daging makcik. Beliau juga sempat memberikan nasihat iaitu bukan mudah nak masuk syurga. Katanya makcik sedang menempuh ujian daripada ALLAH, termasuk ujian keredaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Rumah Rakyat Repah, dekat sini, semalam.

Mariam berkata, dia berasa rendah diri, lebih-lebih lagi apabila ada segelintir pihak membuat andaian ujian dilaluinya itu merupakan balasan ALLAH daripada kesalahannya.

“Ada yang kata mungkin makcik jahat masa muda, lalu anak-anak jadi mangsa. Makcik hanya mampu beristighfar dalam hati dan memohon pertolongan ALLAH selepas bersolat.

'Mohon ALLAH jangan ambil nyawa saya dahulu'

Mariam mengakui, jika dia duduk termenung, terngiang-ngiang bisikan iblis menggodanya supaya bertindak kejam ke atas anak-anaknya itu.

“Bisikan itu seolah-olah mengejek makcik kerana memiliki anak-anak OKU dan ada yang menyuruh makcik beri racun sahaja kepada anak-anak.

“Malah, bisikan itu terus menggoda makcik supaya tidak mengikut nasihat alim ulama atau ustaz-ustaz yang banyak memberikan nasihat kepada makcik untuk lebih sabar menjaga anak-anak OKU ini.

"Setiap kali bisikan itu datang, makcik akan ambil wuduk dan menunaikan solat memohon pertolongan ALLAH untuk mengurniakan kesihatan buat makcik bagi menguruskan anak-anak."

Kata Mariam, air matanya pasti mengalir setiap kali mengenang nasib anak-anaknya sekiranya dia dijemput ALLAH terlebih dahulu.

“Tiga tahun lalu semasa bulan puasa, makcik pengsan dan tersedar kira-kira 8 malam. Pada masa itu, tiga anak OKU makcik sedang mengerumuni makcik dan memberitahu mereka sangat lapar.

“Makcik kuatkan semangat dan membersihkan diri serta bersolat sebelum menyiapkan makan malam buat mereka. Malah, dalam setiap kali doa selepas solat, makcik sering memohon kepada ALLAH untuk tidak mengambil nyawa makcik dahulu.

“Ada juga pihak menyuruh makcik menyerahkan mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun selagi kudrat masih ada, makcik rela menjaga daripada berpisah dengan mereka," katanya.

Ditanya tentang berita penemuan anak OKU yang terbiar di Nilai, Sabtu lalu, Mariam berkata dia sangat terkejut dan tidak menyangka ada orang yang sanggup bertindak demikian.

"Makcik menggunakan 10 kilogram beras dalam tempoh seminggu untuk anak-anak. Malah, makcik pernah tidak makan nasi seminggu kerana mendahulukan anak-anak OKU makcik ini memandangkan mereka lebih memerlukan makanan berkhasiat," katanya.

Bangga anak wakili Malaysia

Mariam berkata, sebelum ini pelbagai cacian dan hinaan dilemparkan masyarakat, namun sejak dua anaknya, Mudzahir dan Fauzi mewakili Malaysia dalam sukan taekwondo pada Sukan Paralimpik di Beijing China 10 tahun lalu, ia sedikit sebanyak membuka mata masyarakat terhadap anak OKU.

“Saya bangga kerana mereka berjaya mendapat tempat keempat dalam sukan taekwondo dan pencapaian mereka itu membuka mata masyarakat mengenai keupayaan mereka, walaupun OKU.

“Cuma Muzalifah dan Mudzahir kini kurang sihat dari segi emosi kemungkinan akibat gangguan. Makcik sekarang bawa mereka berubat dengan ustaz," katanya.

Mariam berkata, dia sentiasa bimbangkan keselamatan anak-anaknya jika terpaksa meninggalkan mereka bersendirian kerana mahu membeli barangan keperluan di kedai berdekatan.

"Makcik memang takut sebab kalau orang berniat jahat sudah tentu mereka senang masuk ke rumah kerana tidak bertutup. 

"Mujur, anak sulung makcik (Musazmalhaz, 40) yang menetap di Johor Bahru, kerap pulang ke rumah bagi menjenguk makcik dan adik-adiknya, sementara anak kedua mak cik (Masazura, 38) yang menetap di Gemencheh, pulang bagi menjaga adiknya sekiranya makcik mengikuti program PDK bersama Fauzi.

"Makcik amat berharap sekiranya ada pihak sudi membantu membina dinding batu bagi menutup bahagian hadapan rumah ini kerana makcik hanya bergantung kepada pencen arwah suami, elaun JKM untuk warga emas dan elaun OKU," katanya.
 

Tiada ulasan: