shahbudindotcom
Di
Sungai Besar, UMNO terlebih dahulu mengumumkan nama calonnya dengan
menamakan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi untuk bertanding dalam
pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18 Jun depan.
Kemudian Pas mengumumkan Adun Meru, Dr Rani Osman sebagai ayam tambatannya untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut.
UMNO letak Adun, Pas pun ikut letak Adun.
Di Kuala Kangsar pula, Pas yang lebih dahulu mengumumkan seorang wanita iaitu Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calonnya.
Apabila
UMNO mengumumkan calonnya, mereka juga memilih seorang wanita iaitu
Mastura Mohd Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad untuk dipertaruhkan
bertanding di kerusi yang pernah diisi oleh suaminya sejak 2013 yang
lalu.
Pas letak wanita, UMNO juga ikut letak wanita.
Mula-mula Pas tiru UMNO, kemudian UMNO pula tiru Pas.
Secara
formal tidak ternampak wujud kerjasama antara kedua-dua parti itu,
tetapi dalam soal calon seperti tersirat elemen senada, seirama dan
saling bahu membahu antara Pas dan UMNO.
Meletakkan
Dr Rani dan Dr Najihatussalehah, kedua-duanya orang luar Sungai Besar
dan Kuala Kangsar sedangkan ada calon tempatan yang lebih sesuai,
memperlihatkan Pas hanya ingin memecahkan undi dan bukan untuk menang
kerusi.
Di
Sungai Besar, jika pun Pas ingin meletakkan Adun juga sebagai calonnya,
memilih Salehan Mukhyi, wakil rakyat Sabak yang berjiran sebelah dengan
Sungai Besar adalah lebih tepat berbanding Dr Rani yang didatangkan
lebih jauh iaitu dari Meru.
Begitu
juga di Kuala Kangsar, memilih Raja Ahmad Iskandar Raja Yakob, Yang
Dipertua Pas kawasan tersebut sebagai calon akan memberi banyak
kelebihan kepada Pas jika dibandingkan dengan Dr Najihatussalehah yang
berasal dari Pasir Salak.
Tetapi Pas seperti menolak untuk meletakkan calon yang boleh menang di kedua-dua kawasan itu.
Bermakna
sekarang pertandingan tiga penjuru tidak lagi dapat dielakkan. Hanya
menunggu Pakatan Harapan saja yang belum mengumumkan siapa calonnya.
Adakah Amanah akan bertanding di kedua-dua kerusi itu atau salah satunya akan ditandingi oleh PKR?
Melihat
kepada calon UMNO dan Pas yang diketengahkan, peluang Pakatan Harapan
untuk menang adalah terbuka di kedua-dua kawasan itu dengan syarat dapat
meletakkan calon yang betul dan memastikan undi bukan Melayu
benar-benar berpihak kepada mereka.
Berdasarkan
UMNO meletakkan Budiman dan Pas meletakkan Dr Rani di Sungai Besar,
seiring dengan Pas pula menjadi sebahagian daripada komponen dalam
kerajaan negeri, maka lebih sesuai jika PKR bertanding di situ.
Walaupun
berlaga sesama sendiri, ia akan memberi kelebihan kepada PKR kerana
kerajaan negeri Selangor sedang diketuai Azmin daripada parti tersebut.
Meletakkan calon PKR juga seolah-olah untuk menambah seorang lagi wakil
kerajaan negeri untuk bersuara di dalam Parlimen.
Ditambah
dengan salah satu DUN dalam Sungai Besar sudah pun dikuasai oleh DAP
melalui Adunnya, Ng Suee Lim, kelebihan mendapatkan undi bukan Melayu
yang berjumlah 33 peratus nyata berpihak calon PKR yang mewakili Pakatan
Harapan.
Namun
demikian, sekiranya Amanah mahu diberi peluang bertanding di Sungai
Besar, maka parti itu mesti meletakkan kalangan pemimpin utamanya
sebagai calon. Lebih baik dan ternampak keberanian jika Mohamad Sabu
sendiri yang bertanding.
Di
Kuala Kangsar, sebagaimana yang sudah dimaklumi bahawa calon BN,
Mastura Mohd Yazid sudah mula dilihat sebagai beban dan mendatangkan
banyak masalah, manakala calon Pas pula bukan dipilih untuk menang, ia
memberi umpama tuah terbuka buat Pakatan Harapan.
Calon
yang paling sesuai mewakili Pakatan Harapan di kawasan itu ialah Nizar
Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak sebelum ini. Beliau dikenali ramai
di seluruh Perak dan ada rekod kerja sebagai pemimpin yang cukup
membanggakan.
Dengan
Mastura berasal dari Negeri Sembilan, malah masih ahli UMNO Chembong
dalam bahagian Rembau, Dr Najihatussalehah dari Pasir Salak dan Nizar
sebagai Adun Changkat Jering, bekas Menteri Besar Perak itu ternyata
lebih hampir dengan Kuala Kangsar berbanding pesaing-pesaingnya.