TOKYO: Isu usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda
undang-undang syariah di Kelantan, tidak akan menjejaskan sokongan bukan
Islam kepada Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil (PRK)
di Selangor dan Perak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN
khususnya pemimpin komponen bukan Islam akan memberi penjelasan supaya
pengundi memahami pindaan itu hanya membabitkan orang Islam sahaja.
Katanya, malah pewartaan dan pelaksanaan pindaan itu masih terlalu awal
dan perlu melepasi tujuh proses termasuk diluluskan oleh Parlimen,
Majlis Raja-Raja, pindaan Perlembagaan dan diluluskan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kelantan.
"Saya fikir perkara ini akan diperjelaskan oleh pemimpin bukan Islam
dan ia soal penjelasan yang harus dilakukan supaya pelbagai interpretasi
dapat ditangani oleh pemimpin bukan Islam sendiri kerana ia (pindaan)
hanya untuk orang Islam.
"Jadi saya harap orang bukan Islam jangan terlalu khuatir tentang usul
persendirian dikemukakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ia bacaan
kali pertama (di Dewan Rakyat) dan banyak proses lain yang akan
berjalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia pada sidang medianya di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata,
beliau menjelaskan calon BN PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid
adalah calon terbaik dan boleh menang di antara lima nama disenarai
pendek.
Katanya, selain penerangan melalui multimedia, beliau sendiri akan
turun memberi penjelasan pada ceramah mengenai pemilihan Mastura dan isu
berkaitan hukum Islam yang melingkari pemilihan calon itu yang masih
dalam edah dan tidak boleh keluar berkempen.
Beliau berkata, pucuk pimpinan BN sudah merujuk perkara itu kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani sendiri.
Ahmad Zahid berada di sini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan