Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Tajuddin Abdul Rahman
menasihatkan supaya pemimpin MCA dan MIC tidak mengeluarkan kenyataan
yang boleh mengelirukan rakyat berhubung usul Rang Undang-Undang (RUU)
hudud yang dibawa PAS.
Tegas beliau, tindakan beberapa pemimpin bukan Islam itu mempersoal dan
mempolitikkan usul tersebut tidak wajar kerana ia masih belum
dimuktamadkan oleh kerajaan.
"(Tindakan) mereka ini mengelirukan rakyat, mereka adalah pemimpin
politk harus jujur daripada segi perbuatan, percakapan. Jangan
manipulasi dan bermain politik (kerana) yang jadi mangsa adalah rakyat.
Ini merupakan pemimpin yang tak bertanggungjawab dan tak ada nilai
moral.
"Janganlah dipolitikkan, semua benda nak dipolitikkan. Konon nak jadi
hero yang mempertahankan orang bukan Islam tapi tak kena pada masanya,"
katanya kepada Antarapos.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Khamis dilaporkan membentang usul tersebut di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Hadi memohon menangguhkan usul berkenaan bagi memberi
peluang ‘masa’ kepada ahli Parlimen untuk meneliti dan memahami enakmen
tersebut sebelum membuat keputusan.
Usul tersebut mendapat reaksi positif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak yang berkata enakmen itu bukan Hudud yang dibawa oleh PAS.
Semalam Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan
Datuk Mah Siew Keong mengancam akan meletakkan jawatan dalam kabinet
sekiranya rang undang-undang berkenaan diluluskan di Parlimen.
Tidak terkecuali Presiden MIC Datuk S. Subramaniam turut mengambil langkah sama sekiranya hudud dilaksanakan.
Malah Tajuddin turut mengulangi pendirian kerajaan seperti mana yang diberitahu Najib.
"Usul persendirian yang dibawa Hadi itu bukan bermakna nak laksanakan
hudud. Perkara itu sudah pun dijelaskan oleh PM, TPM, apa lagi mereka
mahu? Tak jelas lagi, masalah dia sekarang samada mereka nak terima atau
tidak.
"Kenapa mereka terlalu susah untuk terima penjelasan tersebut yang
dibuat oleh PM? Apa yang Najib cakap itu mewakili kerajaan, tujuan
kerajaan bukan untuk undang-undang hudud," jelas beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan