HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2016

Bertenang tanggapi isu hudud – Ketua Pengarah IKIM


 
 
"Perlukah kita sentiasa memberikan reaksi terburu-buru sehingga tiada ruang untuk berfikir terlebih dahulu?"


AZIZAN


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datin Dr Azizah Baharuddin menggesa semua pihak agar bertenang dan tidak terburu-buru dalam berbincang tentang hudud.

Beliau menyifatkan pandangan secara terburu-buru tidak akan membawa kepada membawa sebarang penyelesaian dan pemahaman.

“Perlukah kita sentiasa memberikan reaksi terburu-buru (knee-jerk reaction) sehingga tiada ruang untuk berfikir terlebih dahulu?

“Jika tindakbalas dengan cara seolah-olah mahu berkonflik, kita tidak tunjukkan ketamadunan tinggi yang wujud dalam kelompok budaya dan etnik di negara ini? Kita ada tradisi banyak tamadun hebat di Malaysia,” katanya dalam sidang media di IKIM hari ini.

Isu hudud kembali diperkatakan selepas Dewan Rakyat mempercepatkan sesi perbahasan usul Rang Undang-undang Peribadi yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 355 yang didakwa akan membuka laluan ke arah perlaksanaan hudud di Kelantan.

Beliau juga bersetuju bahawa isu hudud terlalu dipolitikkan sehingga menimbulkan banyak persepsi negatif orang ramai terhadapnya.

“Memang ada yang suka jika kita marah. Tetapi bagaimana pula dengan kita sendiri jika turut memanjangkan provokasi itu. Saya percaya rakyat Malaysia bijak dan baik hati, kita boleh buat lebih baik daripada ini.

“Apa kata kita berhenti dan berfikir sejenak, jangan burukkan lagi isu yang mudah panas ini,” katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan IKIM kini sedang merangka ‘Fiqh Taamul’ yang menurutnya “sains perhubungan antara orang Islam dan bukan Islam”.

“Dalam falsafah Islam, tidak pernah isu keadilan bagi golongan bukan Islam tidak disentuh,” katanya lagi.

Tiada ulasan: