Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mahu presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa beliau tidak dimaklumkan oleh perdana menteri tentang usul menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memberi keutamaan kepada Presiden Pas membentangkan usul persendirian berkaitan pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Menurutnya, jika Liow telah diberitahu tentang usul tersebut, Liow perlu menjelaskan apakah tindakan yang diambil untuk menghalang Azalina daripada mengusulkan perkara tersebut yang secara jelas bertentangan dengan keputusan kabinet minggu sebelumnya dan juga konsensus pemimpin BN yang dicapai Mac tahun lalu.
Tambah Kit Siang, sikap tidak tahu Liow yang juga Menteri Pengangkutan terhadap usul Azalina menjadi satu 'misteri besar politik' kerana menteri dan ketua-ketua parti komponen BN Sabah pada Rabu lalu telah menulis surat kepada Najib menyatakan bangkangan mereka terhadap sebarang usaha untuk mengutamakan usul persendirian Abdul Hadi itu.Kit Siang turut mempersoalkan sama ada Liow akan mencadangkan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN sebelum mesyuarat kabinet yang dijadualkan Jumaat ini bagi menyelesaikan krisis yang melanda BN hasil daripada usul Azalina di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Beliau juga ingin tahu sama ada Liow bersedia menyarankan kepada Majlis Tertinggi BN supaya memecat Azalina sebagai menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Raashid Shirlin kerana menyokong usul itu.
"Saya bersedia bertemu Liow bila-bila masa. Cuma nyatakan tempat, taikh dan masa (untuk mendengar penjelasannya)," kata Kit Siang.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kula Segaran hairan dengan ugutan beberapa pemimpin BN untuk meletakkan jawatan ekoran pembentangan usul persendirian Ahli Parlimen Marang itu dan mempersoalkan sama ada mereka tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum usul itu dibentang.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu yakin bahawa rang undang-undang persendirian itu tidak akan dibentangkan sekiranya pemimpin-pemimpin BN berani mempertikaikan langkah unilateral Umno.
"Sukar untuk dipercayai bahawa keputusan mengenai perkara sepenting itu tidak dibincangkan terlebih dahulu dalam Kabinet oleh Umno dengan pemimpin-pemimpin MIC, MCA dan Gerakan.
"Tidak kira sama ada keputusan Kabinet telah dilanggar atau langkah memberi keutamaan kepada usul Hadi itu tidak dibincangkan dengan menteri-menteri berkenaan, ia menunjukkan bahawa Umno tidak menghormati komponen parti BN yang lain,” lapo Roketkini.
Pada 26 Mei lalu Abdul Hadi diberi ruang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat.
Aturan mesyuarat diubah bagi membolehkan usul itu mendahului urusan kerajaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Walau bagaimanapun, Hadi kemudiannya meminta agar perbahasan usul itu ditangguhkan ke sesi Parlimen seterusnya pada Oktober akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan