SUNGAI PETANI: Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong
mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas selepas mengumumkan
keluar daripada MCA Jumaat lalu.
Walau bagaimanapun ADUN Gurun dan ahli exco Kedah itu memilih untuk kekal mesra Barisan Nasional (BN).
Tindakan Leong itu sebagai bantahan susulan usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) mengenai hudud dibentangkan di Parlimen.
"Saya menerima banyak panggilan termasuk dari Presiden Datuk Seri Liow
Tiong Lai dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Perdana menteri berjanji untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang
positif. Beliau memberi jaminan tidak akan membuat keputusan yang
melanggar perlembagaan negara," katanya.
Dr Leong berkata beliau masih lagi berdiri teguh di belakang Najib dan Liow.
"Apa sahaja janji yang diberikan kepimpinan tertinggi di negara ini, rakyat masih mahu melihat hasilnya," kata Dr Leong.
Dr Leong berkata tiada keperluan untuknya meletak jawatan sebagai ahli exco kerana beliau dilantik oleh Menteri Besar Kedah.
"Saya akan membiarkan presiden parti, Liow dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memutuskan mengenai perkara ini," katanya.
Sementara itu semalam, Datuk Seri Ahmad Bashah mahu Leong diberi ruang dan waktu untuk menimbangkan semula keputusannya itu.
"Dia sedang bercuti. Lepas dia kembali, saya akan bertemu dengannya.
Tapi saya memang sudah bercakap (dengannya) dalam (perbualan) telefon.
"Kami akan menyelesaikan perkara ini dengan cara semangat Barisan Nasional," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan