KUALA LUMPUR: Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri
Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa ada pihak yang cuba meraih publisiti
murahan apabila mempolitikkan isu usul Rang Undang-Undang (RUU)
Persendirian berkaitan pindaan akta Mahkamah Syariah yang akan
dibentangkan PAS pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Ujarnya, Presiden PAS, Datuk Seri ABdul Hadi Awang sudah banyak kali
membuat kenyataan bersabit RUU itu dan bertegas RUU tersebut cuma usul
untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah bagi mengenakan hukuman ke
atas orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah.
"Malangnya ada pihak tertentu yang bertegas semata-mata "untuk menarik
perhatian ramai" kerana mereka fikir mereka boleh menjadi popular pada
pandangan bukan Islam.
"Saya berdoa semoga semua ini dihentikan kerana jika tidak, ia akan
mewujudkan jurang yang berbahaya antara masyarakat Islam dan bukan
Islam," katanya.
Sebelum ini beberapa menteri seperti Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong
dan Datuk Seri Wee Ka Siong mengancam untuk meletakkan jawatan jika RUU
tersebut diluluskan.
Parti MCA, MIC dan Gerakan juga mengecam usul tersebut.
Abdul Kadir berkata, pindaan-pindaan yang dicadangkan oleh RUU
Persendirian itu sudah lama tertangguh dan menjadi keperluan bagi
masyarakat Islam, selaras dengan semangat Perlembagaan.
"Dalam keadaan ini, ia adalah adil bahawa semua pihak yang
bertanggungjawab harus menunggu Abdul Hadi memberi penjelasan mengenai
RUU itu pada Oktober sebelum membuat apa-apa keputusan.
"Selepas semua penjelasan diberikan dan RUU itu telah dibahaskan dan
hati nurani mereka masih tidak dapat menerimanya, maka mereka boleh
menentang RUU itu," katanya.
Pada 26 Mei, Hadi membentangkan RUU Persendirian, bertujuan meminda
Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk
menyebut bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang
Islam, dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan
dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang
Persekutuan.
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, yang menyebut bahawa dalam
melaksanakan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2A, Mahkamah Syariah
mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan-kesalahan
yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan