SUNGAI BESAR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar menganggap dirinya sebagai calon 'underdog'.
Katanya, beliau akan meneruskan kualiti kerja di Sungai Besar ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan yang juga berada di bawah Parlimen Sungai Besar selain DUN Sungai Panjang.
"Saya fikir ia (pencalonan itu) adalah penambahbaikan kepada tugas sedia ada tetapi saya fikir ia bukan sesuatu yang mudah," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, Jumaat malam.
Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina terhadap BN, Budiman berkata, rekod pencapaiannya dengan kumpulan itu semakin meningkat.
"Sebab itu saya yakin pada kali ini pengundi Cina sudah mulai mengenali saya dan saya fikir ia (sokongan pengundi) bukan masalah besar tetapi tidak mahu bercakap tinggi (besar).
"Saya lihat amanah parti ini adalah kerja berpasukan. Ia amanah parti dan bukan kerja individu.
"Saya hanya mewakili parti tetapi pasukan gerak kerja dan pasukan rakan komponen yang mewakili BN yang lebih penting sebagai kekuatan pilihan raya," katanya.
PRK Parlimen Sungai Besar ditetapkan pada 18 Jun ini berikutan kematian Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan