HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2016

MCA, GERAKAN, MIC disaran tidak menolak ‘hudud’ secara melulu

 
Sabar dan tunggu sehingga mendapat penjelasan daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Oktober nanti.


Abdul_Kadir_Sheikh_Fadzir


PETALING JAYA: Pihak yang menentang Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah disaran tidak menolaknya secara melulu.

Sebaliknya, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir meminta mereka supaya bersabar dan menunggu sehingga memperoleh penjelasan lanjut daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Oktober nanti.

“Jika selepas itu jiwa mereka masih tidak boleh menerima cadangan tersebut maka mereka berhak mengundi menentangnya. Sebaliknya, jika mereka yakin tentang kebaikannya maka mereka haruslah bertanggungjawab dan menyokongnya.

“Harus diingatkan di negara kita ini Parlimen yang paling berkuasa dan oleh itu, biarlah rakyat menentukan segala-galanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sambungnya lagi, pemimpin-pemimpin dari parti politik khususnya MCA, MIC dan GERAKAN disaran berhenti memainkan politik persaingan dengan DAP bagi membuktikan siapa yang lebih hebat.

Abdul Kadir berpendapat dalam politik persaingan, tiga parti berkenaan tentu akan tewas kerana DAP telah begitu lama terpahat dalam pemikiran rakyat sebagai sebuah parti politik ekstrem.

“MCA dan MIC harus sedar bahawa mereka memainkan peranan penting dalam memerdekakan negara ini dan usaha-usaha menggubal Perlembagaan Malaysia.

“Oleh itu, kembalilah kepada formula kejayaan ini dan kembali menjadi MCA dan MIC seperti dahulu,” jelas beliau lagi.

Bagaimanapun, Abdul Kadir akui runsing memikirkan pendirian tegas MCA, MIC dan GERAKAN menentang akta Persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS itu.

“Sangat jelas bagi kita semua yang ingin adil bahawa cadangan tersebut adalah semata-mata untuk memperkasa Mahkamah Syariah dan ia tidak kena mengena dengan hudud seperti yang difahami. Ia juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara,” jelasnya.

Katanya lagi, kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara pada ketika ini sering menjadi bahan ketawa di mana jenayah-jenayah tegar terlepas dengan hukuman yang ringan.

“Sedangkan jenayah mereka adalah sangat terkutuk.”

Tiada ulasan: