HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2016

KALAU PUN MENANG, PENGUNDI KUALA KANGSAR HANYA DAPAT KHIDMAT MASTURA PADA PERTENGAHAN OGOS NANTI

shahbudindotcom


Sekarang ini semua orang sudah mengakui calon BN di Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid terikat dengan pantang larang edah selama 4 bulan 10 hari.

Mastura sendiri mengatakan beliau akur dengan hukum Islam itu dan tidak akan sesekali turun berkempen. 

Harussani Zakaria, Mufti Perak turut memberitahu, walaupun boleh bertanding tetapi Mastura tetap tidak boleh keluar rumah untuk menyertai mana-mana program kempen.

Tetapi dengan kecanggihan teknologi, kekangan edah untuk beliau berkempen sudah pun dikira selesai di mana penggunaan multimedia dan rakaman video akan digunakan sebagai caranya berhubung dengan pengundi dan jentera pilihanraya di pusat-pusat daerah mengundi.

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa juga mengatakan Mastura tidak perlu hadir pada hari penamaan calon kerana ia bukan suatu kewajipan, sebaliknya sudah memadai dengan kehadiran penyokong dan pencadangnya sahaja.

Namun demikian, berdasarkan tempoh edah selama 4 bulan 10 yang terus terkena kepada Mastura, halangan seterusnya ialah sekiranya beliau menang pada pilihanraya 18 Jun nanti.

Suaminya, Wan Khairil Wan Ahmad terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak ialah pada 5 April lalu dan ini bermakna tempoh edahnya hanya akan berakhir pada pertengahan Ogos nanti.

Walaupun menang, Mastura sebenarnya masih tidak boleh keluar rumah bertemu rakyat dan rakyat juga terus terhalang untuk berjumpa dengannya sehingga tempoh edahnya berakhir pada pertengahan Ogos itu.

Secara langsung, meskipun menang dan pengundi Kuala Kangsar sudah memilihnya sebagai wakil rakyat pada 18 Jun ini, mereka mesti menunggu sehingga pertengahan Ogos untuk berjumpa atau menjemputnya menghadiri pelbagai program di kawasan itu.

Bererti, seandainya pengundi memberi kemenangan kepada Mastura, dalam tempoh dua bulan selepas itu, tidak akan ada kelibatnya di mana-mana majlis kenduri, kematian, banjir atau apa saja program.

Soalnya, adalah pengundi Kuala Kangsar akan menjadi terlalu baik hati memilih calon wakil rakyat yang hanya dapat memberikan khidmatnya pada pertengahan Ogos nanti atau mengundi calon lain yang terus dapat memberikan perkhidmatanya sebaik saja kemenangan diumumkan pada malam 18 Jun nanti?


Tiada ulasan: