HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mei 2016

Budiman calon BN bagi PRK Sungai Besar

SINAR HARIAN

Budiman Mohd Zohdi
Budiman Mohd Zohdi 
 
 
SUNGAI BESAR - Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan raya kecil itu di Pusat Arahan BN di Sungai Panjang, di sini, malam ini.

Budiman, 44, adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di sini, dan juga Setiausaha Adun BN Selangor.

Beliau,  yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkahwin dengan Norma Aida Abdullah dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi Dun Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada Pas dengan majoriti 2,183 undi.

Dun Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar. PRK Parlimen Sungai Besar diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah mendapat 18,695 undi dengan majoriti 399 undi mengalahkan calon Pas, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain. - Bernama


Tiada ulasan: