HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Mei 2016

Hudud: Presiden MIC pula ugut letak jawatan

 
Perkara itu dipersetujui Majlis Tertinggi parti India itu dan mendapat sokongan sebulat suara perwakilan dalam EGM MIC, hari ini.


subramanian-hudud


SUBANG JAYA : Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri kesihatan sekiranya undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Majlis Tertinggi parti India itu dan mendapat sokongan sebulat suara perwakilan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MIC yang diadakan hari ini.

“Ini hasrat masyarakat India yang mahu MIC mempunyai pendirian tegas dalam perkara ini.

“Sebagai pemimpin saya kena suarakan hasrat masyarakat India,” katanya pada sidang medianya di One City hari ini.

Pada masa sama, Subramaniam berkata pihaknya mahu penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataannya mengenai rang undang-undang itu.

Najib sebelum ini berkata RUU yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat minggu lalu bukan pindaan pelaksanaan hudud sebaliknya, usul itu untuk memperkasakan Akta Mahkamah Syariah dan menyentuh isu hukuman ke atas umat Islam saja.

“Kita memerlukan penjelasan perdana menteri apa maksudnya itu. Kerana dalam kajian pindaan ini akan membuka ruang pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dan ada kemungkinan selepas itu akan diikuti dengan negeri lain. Itu yang membimbangkan kita,” katanya.

Beliau turut ditanya mengapa pihaknya menentang perlaksanaan hudud kerana ia hanya melibatkan orang Islam saja.

“Malaysia diasaskan daripada perlembagaan yang mempunyai satu sistem perundangan dan itu ialah asas negara yang diterima semua kaum ketika negara ini ditubuhkan.

“Kita takut dengan perubahan ini akan wujud sistem yang berbeza. Contohnya dalam perundangan ada sistem berlainan dan perkara ini dibincangkan banyak kali termasuk pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau mempersoalkan kesesuaiannya,” katanya.

Subramaniam turut ditanya sama ada dua timbalan menteri daripada MIC iaitu Datuk M Saravanan dan Datuk P Kamalanathan akan mengikut jejak langkahnya dengan meletakkan jawatannya atau tidak.

“Ia terpulang kepada mereka. Anda kena tanya mereka. Saya tak boleh buat keputusan berhubung nasib mereka,” katanya.

Sementara itu, Saravanan yang juga timbalan menteri belia dan sukan ketika ditemui pada sidang media sama turut ditanya adakah akan mengikuti Subramaniam dengan meletakkan jawatannya.

“Seorang saja cakap dah cukup. Hanya ada satu sidang media. Saya tak nak buat keputusan secara tergesa-gesa. Presiden hanya akan cakap apa yang dimahukannya,” katanya.

Tiada ulasan: