HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2016

RUU hudud: Siapa pula selepas ini?

 
Setakat ini, lima pemimpin parti komponen BN telah menunjukkan kesungguhan mereka supaya BN tidak membenarkan RUU hudud diluluskan di sidang Dewan Rakyat akan datang.
 
 
 
Wong-Chin-Huat


Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu mendatangkan kesan rantaian.

Usul itu pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam Peraturan Mesyuarat untuk dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan ia dipercepatkan supaya sempat dibahas wakil rakyat dan kemudiannya disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Pemerhati politik percaya tindakan UMNO itu berjaya membuatkan PAS kelihatan seperti orang bodoh kerana parti Islam itu termakan umpan dan helah untuk memecahbelahkan Pakatan Harapan, selain menunjukkan PAS tidak bersedia untuk RUU itu dibentangkan.

Seorang penganalisis politik, Wong Chin Huat pula berpendapat RUU yang dibentangkan pada Khamis lalu adalah hukum hudud, tetapi ia hanya membabitkan sebahagian hukuman hudud bukannya semua.

Sekalipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah menjelaskan RUU yang dibawakan Hadi bukan pindaan terhadap hukum hudud, sebaliknya ia bertujuan memperkasakan Akta Mahkamah Syariah dan menyentuh isu hukuman ke atas umat Islam sahaja, pemimpin-pemimpin parti komponen BN masih meraguinya.

Ia bermula dengan tindakan satu-satunya EXCO MCA Kedah yang juga Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong keluar daripada parti itu dan menjadi ADUN bebas yang mesra BN.

ADUN Gurun itu juga menyerahkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menentukan jawatan EXCO beliau.

Ia diikuti Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong yang mengugut akan meletak jawatan dalam Kabinet jika RUU itu diluluskan pada sidang Parlimen Oktober nanti.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut menyokong keputusan itu dan akan mengikut jejak langkah Tiong Lai jika beliau berundur.

Turut menyertai kumpulan itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang berikrar akan melepaskan jawatan Menteri Kesihatan jika hudud dilaksanakan di Malaysia.

Pemimpin parti-parti komponen BN khuatir pindaan itu akan membuka ruang kepada pelaksanaan hudud di Kelantan dan kemungkinan ia akan diikuti negeri lain serta wujud dua set undang-undang dengan hukuman tidak sama dalam negara ini.

Kini, terpulang kepada Najib selaku Pengerusi BN untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin parti komponen bagi meredakan isu ini.

Dari saat ini juga, hayat usul Hadi terletak kepada kebijaksanaan pimpinan BN dengan mengambil kira aspirasi sekularisme yang termuat dalam perlembagaan, kebimbangan pengundi Bumiputera yang ‘progresif’ dan susun letak sokongan pengundi bukan Islam.

Tiada ulasan: