HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mei 2016

Rani pilihan PAS, janji tak campak mikrofon

PAS mengumumkan Abdul Rani Osman ADUN Meru sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar pada 18 Jun depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, sebentar tadi.

Turut hadir naib presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga pesuruhjaya PAS Selangor,
anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga ketua pemuda PAS dan Presiden IKATAN Tan Sri Shiekh Kadir Fadzir.

"Ini pilihan raya kecil dan kita memerlukan tokoh yang terjun bersama rakyat.

"Calonnya adalah Dr Abdul Rani Osman. Saya difahamkan, beliau ada darah Banjar dan Jawa. Semua anak Adam," kata Hadi disambut laungan takbir.

Abdul Rani merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan ADUN Meru sejak 2008.

Sebelum mencerubi politik, Rani menjalankan sebuah klinik swasta 'Fitrah' di pekan Meru.

Sungai Besar memiliki 67.18 peratus pengundi Melayu, pengundi Cina (31 peratus), pengundi India (1.91 peratus dan kaum lain (0.23 peratus).

Kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar diisytihar kosong selepas penyandangnya Datuk Noriah Kasnon meninggal dunia dalam kemalangan helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Sementara itu, Abdul Rani sewaktu berucap berjaya memukau hadirin yang hadir apabila dalam ucapannya turut diselitkan dengan bahasa Jawa.

Malah, Abdul Rani turut menjelaskan bahawa beliau seorang yang penyabar dan berjanji “tidak akan mencampak mikrofon sewaktu berucap”.

"Saya bukan orang yang senang marah. Saya tak akan baling mikrofon," katanya.

Tidak jelas beliau merujuk kepada siapa.

Bagaimanapun Presiden serpihan PAS Parti Amanah Negara (Negara) Mohamad Sabu sebelum ini mencuri perhatian selepas membaling mikrofon (gambar) di atas pentas.

Mohamad antara nama disebut-sebut sebagai calon PAS dalam dua pilihan raya kecil akan datang. AMANAH masih belum mengumumkan calon mereka setakat ini.






Dalam pilihan raya umum (PRU) 13 Noriah menguasai kerusi Sungai Besar dengan mengetepikan Mohamed Salleh Husin (PAS) dengan kelebihan 399 undi sahaja.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Besar dijalankan serentak dengan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini manakala tarikh penamaan calon pula diadakan pada 5 Jun depan.

Pakatan Harapan sehingga kini masih belum menentukan parti serta calon yang akan bertanding bagi kedua-dua PRK tersebut.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi pula diumum sebagai calon BN bagi Sungai Besar.


Tiada ulasan: