HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mei 2016

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar bukan penanda aras sokongan terhadap kepimpinan negara - Najib

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan serentak 18 Jun ini tidak boleh dijadikan penanda aras tahap sokongan kepada kepimpinan negara.
 
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, PRK lebih banyak bersandarkan isu atau sentimen tempatan.
 
"Tidak, saya fikir kedua-dua PRK tidak boleh menjadi penanda aras untuk kepimpinan nasional. Tetapi rakyat cenderung untuk berfikir sedemikian.

"Tapi PRK tetap PRK, ia banyak melibatkan banyak isu lokal atau tempatan juga.

"PRK tidak boleh menjadi penanda aras untuk kepimpinan nasional," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi  (MT) Umno sebentar tadi.

Namun begitu ujarnya, jentera Umno-Barisan Nasional (BN) sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan dengan majoriti yang besar.

"Kita berharap sebegitu (majoriti besar), kita akan buat sehabis baik dan tidak akan ambil mudah, kita perlu bekerja keras dan bekerja sebagai satu pasukan dan kita sangat fokus untuk mencapai keputusan yang baik," kata perdana menteri.

Najib dalam pada itu turut menyeru agar kejayaan BN yang disifatkannya sebagai 'cemerlang' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei yang lalu dijadikan sebagai pemangkin seluruh jentera parti untuk menguatkan usaha demi mendepani kedua-dua PRK pada 18 Jun ini dan PRU yang akan datang.

"Kita berharap kemenangan ini akan memberi momentum dan nafas yang baru kepada BN dan Umno di negeri-negeri lain untuk menumpukan usaha-usaha bagi menjamin kejayaan BN dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan kejayaan kita pada PRU.

"Kita juga mengambil maklum faktor-faktor menyumbang kejayaan BN di Sarawak, semoga itu dijadikan sebagai teladan dan panduan di negeri lain bagaimana mereka harus membuat persiapan dan tindakan sehingga boleh mencapai kejayaan yang diharapkan," ujarnya.

Mengulas mengenai calon BN di kedua-dua PRK itu, Najib berkata, ia akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kawasan masing-masing.

Calon bagi PRK Sungai Besar akan diumumkan malam ini, manakala calon bagi Kuala Kangsar akan diumumkan petang esok.

Dalam perkembangan berlainan, Najib memaklumkan mesyuarat MT hari ini tidak membincangkan isu kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Tidak. Tidak bincang lagi Muhyiddin dengan Mukhriz," katanya ringkas.

Sebelum ini desas-desus menyebut bahawa kedua-duanya akan dipecat daripada parti ekoran lantang mengkritik kepimpinan Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini turut berpendirian mereka wajar dikenakan tindakan sedemikian, apatah lagi setelah kedua-duanya sepentas dengan pembangkang dan mengkritik Najib serta parti secara terbuka.

Terdahulu Muhyiddin digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015, dan disusuli pula kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno digantung mulai 26 Februari lalu sehingga pemilihan parti akan datang.


Tiada ulasan: