PATTANI - Usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu diperhebatkan dengan menyebarkan penggunaan bahasa itu ke semua 10 negara di rantau Asia Tenggara, kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa.
Katanya Bahasa Melayu perlu diletakkan di barisan hadapan sebagai bahasa yang digunakan oleh Komuniti Asean merentasi pelbagai bidang.
"Kalau boleh Bahasa Melayu digantikan sebagai bahasa yang boleh dikomersialkan untuk diguna dalam sektor perdagangan, bahasa yang digunakan untuk pelbagai kegiatan harian rakyat di kawasan ini (komuniti Asean)," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu ke-3 anjuran Universiti Fathoni, Pattani dan Upsi dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi Thailand dan Alumni Upsi Thailand.
Menurut Zakaria, seminar yang kali ketiga diadakan turut melibatkan cendekiawan bahasa daripada Indonesia buat pertama kali, selain dari Malaysia dan Thailand.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand Wan Muhammad Nor Matha yang merasmikan seminar itu mengingatkan semua pihak supaya memelihara kepentingan Bahasa Melayu.
"Jangan kita meninggalkan bahasa ibunda kita, sebab satu hari bahasa ibunda kita akan meninggalkan kita," katanya yang juga merupakan penaung Universiti Fathoni.
Sementara itu, seorang daripada peserta Indonesia, Prof Dr Markhamah dari Universiti Muhammadiyah, Surakarta mencadangkan supaya Bahasa Melayu digantikan namanya kepada Bahasa Nusantara.
Penggunaan Bahasa Nusantara itu adalah supaya ia dapat diterima secara lebih menyeluruh di rantau ini, katanya.
"Saya lebih suka menggunakan Bahasa Nusantara kerana jika menggunakan nama Bahasa Melayu, kami yang di Indonesia kurang setuju kalau Bahasa Indonesia juga dipanggil Bahasa Melayu," katanya.
Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugasan Khas Terengganu Ghazali Taib yang turut hadir pada seminar itu berkata, Bahasa Melayu perlu dijadikan alat perpaduan bagi 400 juta penduduk rumpun Melayu di rantau ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan