MALAYSIAKINI
Pengerusi Biro Undang-undang MCA Tay Puay Chuan berkata rang undang-undang persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Khamis lalu adalah "taktik licik untuk pelaksanaan enakmen hudud melalui undang-undang persekutuan bagi meningkatkan kuasa mahkamah syariah".
"(MCA) menyangkal jaminan diberi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa pindaan yang dicadangkan terhadap Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) oleh Ahli Parlimen Marang hanya terpakai kepada orang Islam Kelantan.
"Sebaliknya, perubahan kepada akta itu akan memberi kesan kepada semua pihak di Malaysia Barat," kata Tay dalam satu kenyataan.
Hadi pada Khamis membentangkan usul rang undang-undang persendirian berkenaan selepas dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.
Ia adalah percubaan ketiga Abdul Hadi membawa rang undang-undang persendirian berkenaan.
Bagaimanapun Abdul Hadi memohon perbahasan rang undang-undang itu dibuat pada sidang parlimen akan datang.
Pembentangan Abdul Hadi pada kelmarin dibuat pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat sesi kali ini.
Tay berkata, buan saja Muslim Kelantan akan terkesan dengan pindaan berkenaan - jika ia diluluskan suatu ketika nanti - malah rakyat Malaysia secara keseluruhan.
"Justeru retorik timbalan perdana menteri itu mengelirukan dan perlu diperbetulkan," katanya.
Bagaimanapun Tay tidak menyentuh Datuk Seri Najib Razak yang pada semalam menyatakan terdapat "salah faham" di kalangan parti-parti komponen BN mengenai rang undang-undang dibentangkan Abdul Hadi itu.
Kata perdana menteri, apa yang dibentangkan Abdul Hadi bukan undang-undang hudud tetapi pindaan yang menjurus ke arah pemerkasaan sistem hukuman yang tertakluk di bawah Mahkamah Syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan