PUTRAJAYA: Usul untuk meminda Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah
sedia ada yang dibawa oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi
Awang semalam, bukan bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata pindaan terhadap Akta 355 itu bermatlamat untuk memperkasakan
bidang perundangan Syariah sedia ada kepada sistem yang selari dengan
perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan
syariah yang diiktiraf di dalam Islam.
"Pindaan ini akan meningkatkan jumlah hukuman di Mahkamah Syariah yang telah begitu lama tidak dipertingkatkan.
"Kuasa merotan sebanyak maksimum enam kali sebatan, denda tidak lebih
RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun, antara perkara yang
akan disentuh di dalam pindaan yang dibentangkan ini," katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Semalam, Abdul Hadi yang juga Presiden PAS membentangkan usul Rang
Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Jamil Khir berkata, sebagaimana yang dijelaskan di dalam perlembagaan,
melalui cadangan pindaan usul persendirian itu, ia hanya terpakai kepada
orang-orang Islam di negara ini dan tidak memberi kesan langsung kepada
golongan bukan Islam, selagi hak beragama yang diamalkan bersikap aman
dan damai terhadap Islam.
"Ia juga tidak ada kena mengena dengan Enakmen Jenayah Syariah II
Negeri Kelantan yang pernah dicadangkan di dalam Dewan Undangan Negeri
Kelantan sebelum ini," katanya.
Sebagai menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan
Sumpah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
yang diwajibkan memelihara agama Islam pada setiap masa, beliau meminta
semua pihak supaya menghormati hak-hak yang telah diiktiraf untuk
dilaksanakan serta dijalankan menurut perlembagaan.
Di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap usul itu akan dapat memperluaskan
bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman jenayah mengikut
ketetapan syariah dan tidak sesekali melangkaui bidang kuasa
Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Usul itu adalah untuk dibahas dan dipinda bagi membolehkan Mahkamah
Syariah menjatuhkan hukuman berkaitan dengan zina, qazaf, minum arak dan
murtad melebihi kuasa sedia ada sebelum ini, katanya dalam satu
kenyataan.
Beliau berharap agar semua anggota Parlimen dapat menerima pindaan usul
itu tanpa perlu mencetuskan andaian-andaian yang tidak benar, apatah
lagi menakutkan rakyat dengan sesuatu yang tidak berasaskan realiti
sebenar hukum syarak dan masyarakat berbilang agama dalam konteks negara
ini.
Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan
dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai
kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah
perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah
jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan
undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak
menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan
hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan,
selain hukuman mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan