Tanpa mengenal erti putus asa, walaupun tewas sehingga hilang wang pertaruhan, bekas calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro, Andri Zulkarnaen Hamdan,44, merancang pelan lima tahun untuk membantu memperjuangkan hak, kebajikan dan keadilan rakyat Sarawak.
Beliau yang ramah berbicara berkata, langkahnya tidak akan terhenti begitu sahaja.
Ketika berucap di Sungai Rambai, Jasin di Melaka semalam, beliau memberitahu, penyertaan Amanah di gelanggang pilihan raya Sarawak membuktikan muafakat jentera petugas parti tersebut sebagai yang terbaik di negeri yang dianggap kubu kuat BN itu.
Walaupun kalah, tapi saya menang kerana mendapat kasih sayang daripada jentera pilihan raya Melaka dan Biro Tanah Amanah,” ujarnya menghargai kerja keras jentera pilihan raya Amanah Melaka dan biro berkenaan yang membantu kempen beliau di Beting Maro, awal bulan ini.
Ketika ditemubual, bapa kepada empat anak ini berkata, beliau sedang merancang pembentukan Pusat Peduli Rakyat (PPR) bagi meneruskan usaha menyantuni penduduk tempatan. Badan ini dijangka akan dirasmikan 16 Jun depan.
“Di Sarawak, PPR pertama adalah di Beting Maro daripada 13 Dun (Dewan Undangan Negeri) yang Amanah telah tandingi. PPR ini bukan menjadi tempat memberi bantuan wang sebaliknya pusat sehenti atau platform untuk kita menyalurkan keperluan masyarakat setempat kepada pihak berwajib,” jelasnya.
Mengakui pengaruh politik wang yang dominan dalam kalangan pengundi Sarawak, beliau yang mesra dipanggil Hud berkata, menyedari realiti politik itu, PPR berkenaan pada masa sama turut berperanan untuk memberi pendidikan politik kepada pengundi tempatan.
“Ini pastinya bukan kerja mudah dan usaha melahirkan pengundi yang celik politik ini memerlukan tempoh panjang memandangkan BN sekian lama mengajar rakyat dengan menabur wang setiap kali musim pilihan raya.
“Amanah di Sarawak cuba untuk mendidik pengundi supaya mereka keluar daripada kepompong politik pilihan raya yang sempit. ‘Cash is king’ sepanjang berlangsungnya kempen sebelum membuang undi tidak akan menjamin masa depan lebih sejahtera buat anak-anak Sarawak,” tegasnya lagi.
Sambil menikmati sarapan di Melaka Sentral, Hud yang juga Pengarah Pembangunan Kepimpinan Amanah Negeri Sarawak memberitahu masalah sebenar rakyat di negeri paling besar di Malaysia itu akan berlarutan selagi kesedaran politik pengundi masih di takuk lama.
“Saya perhatikan sepanjang 11 hari tempoh berkempen, bukan sedikit yang merungut marahkan kerajaan atas banyak sebab. Paling kritikal, isu bekalan air bersih, sekian lama tak selesai, pakai air hujan simpan dalam tong biru 1Malaysia.
“Selain itu, rakyat di Sarawak juga terbeban dengan masalah jalan raya rosak dan peluang pekerjaan terhad tetapi apabila tiba hari mengundi, keputusannya kita lihat majoriti tetap pangkah dacing (BN),” ujarnya.
Pelan lima tahun
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Sarawak terutama golongan muda yang terdedah kepada akses maklumat ekoran perkembangan media sosial mutakhir ini untuk berubah kepada politik yang menguntungkan mereka.
Meskipun karakter Hud dilihat mudah berseloroh tetapi beliau serius apabila menghuraikan gagasan pembangunan masyarakat Sarawak khususnya di Beting Maro yang diingininya dalam tempoh lima tahun akan datang ini.
Selain berusaha untuk menangani isu tanah yang mengancam hak rakyat untuk memiliki tanah dan kediaman, beliau turut berhasrat untuk membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat s
“Kita akan meneruskan usaha yang dirintis sebelum ini menangani isu tanah melibatkan 1,000 penduduk di Sepinang dan 217 lagi di Semarang dengan bantuan peguam Yusri Isahak dari Biro Tanah dan Luar Bandar Amanah.
“Kami akan berusaha untuk mendapatkan hak penduduk terjejas apabila tanah mereka telah diambil bagi tujuan projek perladangan. Tindakan rakus syarikat tertentu mencerobohi tanah didiami penduduk termasuk yang bergeran dengan alasan mendapat kelulusan kerajaan negeri tidak harus dibiarkan.
“Bagi tujuan menambah pendapatan isi rumah, saya akan cuba mengusahakan projek atau program yang dapat membantu bagi tujuan itu,” katanya yang hanya meraih 103 undi sekaligus hilang deposit berbanding calon Pas, Hamidah Mokhtar mendapat 3,051 undi pada PRN, 7 Mei lalu.
Walau bagaimanapun, menyedari aspek pembangunan material tidak mencukupi sekiranya tanpa diiringi pengisian akal dan rohani, Hud berkata, aspek pendedahan kepada budaya ilmu dan penerapan nilai pendidikan Islam akan turut dititikberatkan.
“Pendek kata, banyak kerja jangka pendek dan pelan jangka panjang yang perlu dilakukan mulai sekarang atas kesedaran bahawa usaha merintis ‘hutan’ perjuangan mulai PRN lalu tidak terhenti begitu saja,” jelasnya yang pernah menduduki jawatan Setiausaha Pas Kawasan Pasir Gudang dan bekas Ketua Penerangan Pas Johor Bahru sebelum ini.
Justeru, hanya doa dan sokongan semua pihak diharapkan, ujar beliau, supaya perjuangan Amanah penuh ranjau dan liku di Sarawak konsisten didorong prinsip peduli rakyat yang menjadi antara akar kepada penubuhan Amanah di negara ini.
“Insya-Allah berkat sokongan dan bantuan semua, kita dapat melahirkan masa depan lebih cerah dan sejahtera buat rakyat di Sarawak,” tambah Hud lagi mengakhiri temubual santai hampir setengah jam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan