Pemberian itu wajar dan menjadi keperluan, mengambil
kira faktor sempena sambutan perayaan dan kenaikan harga barangan serta
kos sara hidup yang kian meningkat pada masa sekarang.
KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus raya sebulan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam menjelang Aidilfitri nanti.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata pemberian itu sebagai suatu yang wajar dan menjadi keperluan, mengambil kira faktor sempena sambutan perayaan dan kenaikan harga barangan serta kos sara hidup yang kian meningkat pada masa sekarang.
“Melihat pada keadaan ekonomi semasa, permohonan pemberian bonus sebulan ini pastinya memberi sedikit khabar gembira bagi meringankan beban kewangan mereka selain sebagai penghargaan atas perkhidmatan diberikan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas tamat Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Perlis Sesi 2016-2019 di Dewan Angkatan Pertahanan Awam (MCDF) di sini, hari ini.
“CUEPACS berpendapat pendekatan seperti dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang mengumumkan pemberian bonus tiga perempat gaji kepada penjawat awam daripada jumlah perolehan negeri itu pada 21 Mei lepas,” katanya.
Di samping itu, Azih turut menggesa kerajaan mengkaji serta menyelaras elaun semula beberapa kategori elaun penjawat awam yang dirasakan masih tidak releven.
“Sebagai contoh, elaun khidmat awam masih tidak berubah sejak 14 tahun lepas walaupun taraf hidup semakin meningkat manakala elaun sara hidup (COLA) penjawat awam juga tidak seragam.
Sudah tiba masanya kerajaan menyeragamkan COLA penjawat awam tidak mengira bandar atau luar bandar kerana misalnya di Perlis, harga rumah dan sewa rumah juga adalah tinggi…,” katanya.
Justeru, kerajaan perlu bantu penjawat awam di kawasan-kawasan demikian manakala bagi penjawat awam di Kuala Lumpur dan bandaraya yang lain kerajaan boleh wujudkan elaun baharu seperti ‘elaun kota’ misalnya, kata beliau.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan