Ketiadaan nama Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam struktur Pakatan Harapan, adalah hasil kepada keputusan yang dibuat susulan cadangan yang dibawa oleh wakil setiap parti

PETALING JAYA: Kekeliruan struktur Pakatan Harapan hanya dakwaan pihak tertentu yang sengaja mahu menunjukkan kepincangan gabungan parti itu, kata Timbalan Presidennya Muhyiddin Yassin.

Menafikannya, beliau sebaliknya berkata setiap jawatan tertinggi gabungan pakatan pembangkang itu mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang jelas dan ia dibuktikan di dalam Perlembagaan parti yang tidak diperincikannya.

“Saya tidak fikir ada kekeliruan kerana setiap pemimpin dalam itu di peringkat pimpinan ada fungsi dan tanggungjawab terutama bila merujuk bukti dalam draf perlembagaan yang diputuskan pimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam itu ada setiap fungsinya.

“Bagi pihak yang tidak faham dan sengaja mengelirukan bagi kami tidak ada yang mengelirukan,” katanya kepada wartawan.

Beliau terdahulu mengadakan sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Walaubagaimanapun katanya kesemua pimpinan akan bekerja sebagai satu pasukan dan menggalas tanggungjawab yang sama.

“Yang memutuskan perkara itu tidak keliru, apa pun inilah Pakatan Harapan bermakna ada tanggungjawab bersama walaupun jawatan nama lain tetapi sebenarnya bekerja sebagai satu pasukan dan muafakat pakatan,”tambahnya.

Ketika ditaja mengenai ketiadaan nama Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam struktur Pakatan Harapan, Muhyiddin berkata ianya merupakan hasil kepada keputusan yang dibuat susulan cadangan yang dibawa oleh wakil setiap parti.

Namun keputusan tersebut bukan bermaksud wujudnya penolakan terhadap mana-mana nama untuk diangkat memegang jawatan tertinggi.

“Ia diikut kepada apa yang dikemukakan oleh parti masing-masing dan dalam hampir semua bagi saya ikut tuntutan mereka-mereka dalam parti masing-masing pada masa itu yang dicadangkan untuk berada dalam Majlis Presiden dan kemudiannya disenaraikan pemimpin yang diumumkan.

“Jadi itulah yang diputuskan. Bukan makna ada yang dicadangkan kami tolak. Semua cadangan yang datang dari setiap parti diterima seratus peratus itu penting.

“Bukanlah kata yang ini boleh yang itu tidak boleh. Mana parti yang cadang dibawa ke Majlis Presiden itu yang diputuskan,” katanya lagi.

14 Julai yang lalu Pakatan Harapan mengumumkan struktur parti itu dengan mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir Mohamad Pengerusi manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Selain penganalisis politik, Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh said Keruak mempertikaikan sistem penjawatan tertinggi gabungan itu yang didakwa tidak jelas dan bercelaru.

Dalam parti itu, Lim Kit Siang juga tidak memegang apa-apa jawatan sebaliknya hanya anaknya sahaja Lim Guan Eng sebagai Timbalan Presiden Pakatan Harapan.