Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Ada
bidalan Inggeris mengatakan, anak muda merokok untuk ‘membuktikan’ ia
telah dewasa. Sementara orang dewasa pula merokok untuk menunjukkan gaya
mudanya masih ada.
Begitu juga dengan perawakan ahli politik. Bagi parti yang besar ia
akan mendakwa bahawa ia adil pada rakan-rakan parti kecil dan sementara
parti yang kecil akan menyatakan keyakinan bahawa pakatannya berjiwa
besar dan semua komponen adalah setaraf.
Dalam
seminggu sudah dua kali Pengarah Komunikasi Amanah, Abdul Khalid Samad
mengumumkan bahawa dasar Pakatan Harapan (PH) ialah membuat keputusan
secara konsensus kerana kedudukan semua ahli komponen adalah setaraf.
Maka menurut bidalan Inggeris yang dipetik lebih awal, parti kecil
seperti Amanah cuba melupakan saiz partinya dan berpaut pada klise
politik kononnya semua komponen sama di mata kepimpinan PH.
Sebenarnya itu cuma harapan. Kenyataan Khalid boleh dilihat sebagai
untuk “menyedapkan hati” sendiri sahaja. Amanah berharap pucuk pimpinan
gabungan itu akan benar-benar jujur memperjuangkan dan mempertahankan
status “sama rata” dalam PH.
Jika tidak, ia akan dihantui oleh pelbagai igauan politik bahawa ia
akan menjadi mentimum di kalangan durian besar PH. Bergolek ia luka dan
digolekpun ia boleh cedera.
Rasional untuk Amanah fikirkan
Ketua Umum dan Presiden PH misalnya, pasangan suami isteri Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mungkin boleh
memutuskan bahawa oleh kerana Amanah tiada rekod bertanding pilihan raya
umum ia harus tidak bertanding terlalu banyak kerusi.
Alasan yang mungkin digunakan ialah Jentera pilihan raya Amanah belum
teruji dalam PRU. Dua pengalaman dalam Pilihan raya Kecil Parlimen
Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak memperlihatkan kekuatan “luar
biasa” Amanah.
Justeru
demi menjamin kepentingan strategi PH pada PRU14 keseluruhnnya, ia
(Amanah) mungkin tidak mendapat kuota kerusi yang sama dengan DAP, PKR
dan PPBM. Ketika itu, apa Amanah boleh buat?
Keputusan itu mungkin keluar dalam bentuk pujukan bahawasanya Amanah
perlu berkorban untuk maslahat PH. Bolehkah Amanah menganggap ia satu
pengorbanan dan bukan arahan ‘abang besar”?
Lainlah PPBM. Meskipun cuma ada satu kerusi Parlimen dewasa ini tetapi
‘nilai tambahnya’ auranya dalam bentuk Pengerusi PH sendiri, Tun Dr
Mahathir Mohamad adalah besar. Ketrampilan beliau sudah cukup untuk
melonjakkan PPBM sebagai peneraju PH.
Maka soal yang perlu diteliti, adakah itu maksud tiada “abang besar”
dalam pakatan berkenaan? Jika begitu pemahamannya, adakah ia satu
jaminan tidak akan timbul dan tidak akan menggugat kedudukan Amanah
dalam keluarga PH?
Namun di mata PH, Amanah masih sebuah parti kecil yang tidak dan belum
mampu menonjolkan ramai pemimpinnya untuk menduduki majlis tertinggi
PH.
Yang ia ada cuma harapan – parti besar lain seperti DAP, PKR dan kini
PPBM – tidak berpadu tenaga untuk menentukan Amanah mesti akur pada
setiap kehendak dan cakap PH yang ditentukan sepatutnya secara konsensus
di kalangan DAP, PKR dan PPBM!
Rupanya ada yang tidak puas hati
Kini dalam kem PH sudah mula kedengaran keresahan beberapa pemimpin
komponen pakatan itu yang dikatakan sedang melakar strategi mahu
memintas pimpinan rasmi dalam menentukan kedudukan politik masing-masing
jika PH menang PRU 14.
Yang berasa kerdil dalam struktur organisasi PH tentunya Menteri Besar
Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
Bagi beliau struktur PH itu benar-benar mencabar egonya. Ini kerana
difahamkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu beliau
diletakkan sebaris dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
sebagai Timbalan Presiden PH.
Amanat
Anwar ini khabarnya disampaikan pada Biro Politik PKR supaya ia menjadi
ketetapan PH. Malangnya, Majlis Presiden PH dikhabarkan menolak usul
itu kerana enggan meletakkan Presiden dan Timbalan Presiden PKR sebagai
Presiden dan Timbalan Presiden PH pula.
Seorang lagi pemimpin kanan PH yang dikatakan resah dengan kedudukannya
dalam PH ialah presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sebelum
ini disyorkan partinya untuk menjadi Presiden PH. Syor PPBM ditolak dan
beliau kini hanya Timbalan Presiden PH.
Kedudukan sebagai Presiden PH sudah tentu mampu merapatkan Muhyiddin
pada jawatan Perdana Menteri jika PH menang PRU14. Namun jawatan itu
sebaliknya diberikan pada presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan
Ismail.
Ini membayangkan bahawa jika PH menang PRU 14, maka benarlah Wan Azizah
akan menjadi ‘pemanas kerusi’ Perdana Menteri sehingga suaminya, Anwar
Ibrahim selesai urusan perundangan yang boleh mengizinkan beliau
mengambil alih kerusi berkenaan.
Yang pasti nasib politik Muhyiddin akan hanyut lebih jauh dari pusar
kuasa Perdana Menteri ke-8 Malaysia. Ada desus mengatakan bahawa secara
peribadi Muhyiddin dan Azmin sedang menyusun langkah merapati PAS.
Khabarnya, antara tawaran mereka pada PAS ialah mahu menjalin kerjasama
secara berkongsi platform jentera pilihan raya dan memunculkan pakatan
ketiga selepas PH dan Umno-BN.
Tun Mahathir tanpa selindung canang dirinya ‘top dog’
Nampaknya andaian Khalid Samad tiada konsep ‘abang besar” dalam PH
masih satu angan-angan berdasarkan keberangkalian bahawa Pengerusi PH
sendiri, Tun Mahathir Mohamad masih lagi berkeyakinan tinggi bahawa buat
ketika ini beliaulah tokoh ulung PH.
Dr Mahathir menyamakan dirinya sebagai 'top dog' (pemimpin utama) yang
setanding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya merupakan salah seorang pemimpinnya, saya sebagai pengerusinya.
Dalam beberapa perkara di dalam hiraki PH, saya adalah 'top dog',
manakala beliau (Najib) adalah top dog di sana (kerajaan)," ujarnya.
Malah beliau tidak menyorokkan pendiriannya bahawa Ketua Umum PH, Anwar
Ibrahim masih tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana isu
akhlaknya, belum berubah.
Meskipun
berlapik dalam memberi jawapan kepada cabaran Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak supaya menyatakan pendiriannya dengan jawapan ia
terpulang pada pilihan rakyat, ia masih bermaksud beliau tidak mahu
Anwar jadi Perdana Menteri.
"Saya berpegang dengan kenyataan saya ketika itu. Untuk sekarang, tidak
(ada perubahan). Pada ketika itu ada beberapa perkara dan itu respon
saya.
“Mungkin tahun akan datang saya tukar pandangan lagi. Anda tunggu," katanya.
Ketika itu, PH akan benar-benar berada di persimpangan. Ia akan teruji,
di antara Mahathir dan Anwar siapakah “abang besar” sebenarnya. Khalid
Samad dan kawan-kawannya kelak akan bercempera meletakkan diri sama
dalam kem Pengerusi atau Ketua Umum PH.
Kesengsaraan dan harapan rakyat Malaysia akan terus tergantung dibuai
oleh lagu harapan yang musnah yang cuba didendangkan oleh soldadu
Pakatan Harapan seperti Abdul Khalid Samad yang masih belum nampak jalan
kejayaan berpolitik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan