Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Exco Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim
enggan mengulas bersabit tindakan PAS yang mahu mengemukakan memorandum
kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi membantah campur tangan
kerajaan negeri pimpinan DAP dalam proses pewartaan fatwa di negeri
itu.
Abdul Malik sebaliknya berkata, adalah menjadi hak PAS negeri atau
mana-mana pihak untuk berbuat demikian selagi mana ia berada di dalam
ruang lingkup undang-undang.
"Anda mahu komen apa, kerana kita sudah beritahu bahawa tidak ada
campur tangan (dalam pemfatwaan), jadi kalau mereka nak hantar, saya tak
boleh komen apa.
"Dalam negara demokrasi, semua berhak membuat apa yang tertakluk dalam
ruang lingkup undang-undang, saya tak perlu komen apa-apa, saya tak mahu
komen apa-apa," katanya kepada Antarapos.
Malah tegas ADUN Batu Maung itu, tiada keperluan untuk kerajaan negeri
memohon maaf dan menarik balik pekeliling berkaitan urusan pemfatwaan di
negeri itu kerana 'tiada isu berbangkit'.
"Perkara ini tak berbangkit, kita sudah jawab (dalam DUN) bahawa tidak
ada campur tangan, dan selain dari itu, urusan pemfatwaan adalah urusan
pentadbiran," tegas beliau.
Ahad lalu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata,
pihaknya akan mengemukakan memorandum kepada YDPA bagi membantah campur
tangan kerajaan negeri dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu.
Ujar Muhammad Fauzi, pihaknya konsisten meminta kerajaan negeri menarik
balik pekeliling yang menyatakan bahawa keputusan mewartakan sesuatu
fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis
Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum
dipersembahkan kepada YDPA.
Pada 10 Februari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang,
Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, pekeliling itu bercanggah
dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004
pecahan (3) dan (4).
Menurut Zainal Abidin, enakmen berkenaan tidak menyebut fatwa yang
telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu
dibawa untuk makluman atau perkenan MMK Negeri Pulau Pinang yang
dipengerusikan oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sebelum
dipersembahkan kepada YDPA untuk mendapatkan perkenan.
PAS Pulau Pinang sebelum ini turut membuat laporan polis mendesak
kerajaan negeri pimpinan DAP berhenti mencampuri urusan Jawatankuasa
Fatwa Negeri, termasuk membenarkan empat fatwa yang dikatakan tertangguh
diwartakan segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan