shahbudindotcom
Untuk
tujuan memikat hati, Najib Razak ketika tahun-tahun awal menjadi
Perdana Menteri pada 2009, selain memperkenalkan slogan 1Malaysia -
Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang ditujukan buat seluruh
rakyat, juga turut melaungkan peringatan "Rebah Jika Tak Berubah" khusus
untuk UMNO dan BN.
Tentang
1Malaysia, yang yang terus tertonjol ke seluruh dunia sehingga sekarang
hanyalah 1MDB, sebuah syarikat sarat hutang dan penuh skandal sehingga
beberapa negara telah pun mengambil tindakan berkaitan penyelewengan dan
penggubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Selebihnya, apa yang tinggal?
Klinik
1Malaysia dikhabarkan hanya ada panadol saja, manakala Kedai Runcit
1Malaysia boleh dikatakan agak lengang, malah kedai runcit biasa lebih
lengkap dan menawarkan banyak pilihan. Dihebohkan hanya sardin 1Malaysia
yang jelas murah tapi sesuailah pula dengan rasanya yang tiada apa-apa.
Kedai
Kain 1Malaysia pula dengar-dengarnya hanya indah khabar dari rupa.
Begitu juga dari dari hubungan kaum, di sebalik 1Malaysia yang
sepatutnya menyatukan semua bangsa, retorik-retorik bangsa untuk tujuan
menang pilihanraya terus bebas berleluasa.
Sebab
itu, bukan saja sebutan 1Malaysia tidak lagi kedengaran sekarang ini,
malah Najib juga barangkali sudah lupa bagaimana menyebutnya.
Dalam
konteks menuntut ahli UMNO segera berubah berikutan keputusan buruk
pilihanraya 2008, Najib menyeru agar mereka berubah dengan memberi
peringataan, "rebah jika tak berubah."
Buat
seketika ungkapan tersebut terdengar begitu mengasyikkan dan
memperlihatkan Najib benar-benar seorang Perdana Menteri yang ikhlas
mahu membawa perubahan dan memulihkan kekuatan UMNO dan BN, seterusnya
dapat membela rakyat serta memajukan negara dengan lebih baik lagi.
Tapi apa jadi akhirnya?
Sementara
beliau meminta orang lain berubah menjadi lebih baik dengan harapan
UMNO dan kerajaan mendapat penerimaan positif daripada rakyat, beliau
sendiri mengubah dirinya menjadi lebih buruk dan lebih banyak menjurus
kepada negatif berbanding positif.
Pelbagai
segmen pembaziran, suka bermewah, membeli-belah, karenah isterinya
Rosmah yang tidak terkawal, berlagak jadi First Lady, mengguna jet
sesuka hati dan 1001 macam lainnya yang terdedah adalah antara
sebab-sebab keputusan pilihanraya 2013 lebih buruk berbanding 2008.
Hakikatnya,
di sebalik menyeru kepada perubahan dan memberi ingatan dengan ungkapan
"rebah jika tak berubah", Najib sendiri sebaliknya menunjukkan teladan
buruk dengan tidak mahu berubah dan gagal sama-sekali mengajak
keluarganya untuk sama-sama menjadi lebih baik.
Lebih
dahsyat, di sebalik memberi amaran "rebah jika tak berubah" dan berlaku
pelbagai perkara negatif lain, Najib juga membenarkan kemasukan wang
RM2,600 juta yang menurut penyiasat antarabangsa adalah berpunca
daripada dana 1MDB yang dilencongkan ke dalam akaun bank peribadinya
hanya beberapa bulan sebelum pilihanraya 2013.
Mujurlah
isu wang RM2,600 juta itu hanya terdedah pada 2015. Jika sebelum
pilihanraya 2013 pdrkara itu sudah diketahui rakyat dan menjadi bualan,
pastilah UMNO dan BN sudah benar-benar rebah sekarang ini disebabkan
angkara Najib itu.
Kini,
isu 1MDB dan wang RM2,600 juta terus menghimpit Najib, UMNO dan BN ke
dinding yang semakin sempit berikutan ia sudah merebak dengan beberapa
negara telah melakukan penyiasatan, ada yang mendenda dan menjatuhkan
hukuman serta DOJ dalam proses merampas harta-harta yang dikaitkan
dengannya.
Dalam
keadaan sebegini buruk dan lebih ingin mempertahankan dirinya, Najib
terus juga melakukan tindakan-tindakan menuju rebah dengan menukar
Peguam Negara, memecat beberapa menteri, melemah dengan menukar dan
melakukan kacau-ganggu terhadap beberapa agensi yang terlibat menyiasat
1MDB dan akhirnya semua yang terkait dengan skandal syarikat pelaburan
itu tetap suci bersih jadinya.
Lebih
dari itu, meskipun dikepit dengan skandal yang kian menghimpit dirinya,
Najib tanpa segan-silu terus juga melakukan banyak perkara lain yang
melukakan hati rakyat seperti terus bermewah, membazir, bercuti sesuka
hati, mengenakan cukai baru, memotong subsidi, menChinakan Malaysia dan
sebagainya.
Ia
dengan sendirinya menunjukkan Najib memang tidak mahu berubah, bahkan
hanya bertindak untuk menyelamatkan diri melalui kuasa yang ada padanya,
sambil memuaskan kehendaknya sendiri.
Dalam
sekian banyak isu yang timbul pula, Najib lebih suka memilih untuk
berdiam diri daripada tampil memberi penjelasan. Daripada pendedahan DOJ
bahawa Malaysian Official 1 menerima AS$731 juta dana 1MDB yang
diselewengkan, membayar pelbagai pihak menggunakan wang SRC
International, membayar peguam Shafee Abdullah RM9.5 juta sehinggalah
kepada dakwaan isteri Malaysian Official 1 menerima perhiasan mewah dan
barang kemas daripada Jho Low berjumlah RM128 juta, semuanya dilayan
dengan berdiam diri dan membisu seribu bahasa.
Najib
hanya bergantung kepada orang lain untuk bersuara sambil berharap
sesuatu isu itu akan terpadam dengan sendirinya melalui peredaran masa
atau jika muncul isu-isu lain yang lebih besar daripadanya.
Sementara
rakyat terkesan susah dengan cara pemerintahan Najib, yang turut
ternampak susah ialah mereka yang kerjanya siang malam mempertahan serta
membela beliau. Ia termasuk para pemimpin UMNO, menteri dan para
pejuang lain sama ada di lapangan setiap hari bertemu rakyat, di media
arus perdana atau media internet di mana setiap salah laku, pembaziran,
kemewahan, rantai cincin, barang kemas, percutian dan segala-galanya
termasuk Jho Low dan Riza Aziz pun kena dipertahankan sama.
Oleh
kerana Najib tidak mahu berubah, maka isu mengenai diri, keluarga dan
kroninya juga akan muncul silih berganti. Lepas satu, satu yang lain
pula akan muncul. Setiap isu yang muncul tidak pernah dihadapi atau cuba
dijelaskannya dengan penuh keyakinan.
Berbeza
dengan Tun Mahathir, sama ada ketika menjadi Perdana Menteri atau
selepas bersara, beliau sama-sekali tidak pernah lari daripada masalah
dan sedia memberi penjelasan yang meyakinkan kepada setiap isu yang
timbul. Kuncinya ialah beliau tiada skandal peribadi dan tidak mencuri
untuk diri sendiri.
Bagi
yang diberikan ganjaran lumayan, jawatan besar atau projek-projek mega,
mungkin tindakan membela dan mempertahankan Najib itu agak berbaloi,
walaupun perbuatan itu lebih merosakkan negara dan bernilai kosong dari
segi perjuangan. Mereka yang berkenaan bukan lagi berjuang untuk
kepentingan rakyat dan negara, sebaliknya hanya untuk melindungi
kesalahan Najib semata-mata.
Tetapi,
bagi yang sekadar diberikan elaun seciput wang saku, duit raya setahun
sekali dan telefon bimbit A9 untuk kerja-kerja membela dan
mempertahankan Najib, ia tidak syak lagi adalah kerja paling sia-sia di
dunia.
Bukan
saja kerja membela dan mempertahankan pemimpin yang bersalah dan ada
skandal itu tiada pahala, tetapi melakukannya secara berterusan dan
berulang-ulang sepanjang masa jelas hanya membuang masa memandangkan
Najib yang dibela dan dipertahankan, bukan saja tidak menunjukkan
kecenderungan untuk berubah, malah terus dengan perangai berdiam diri
dan suka lari daripada masalah.
Najib
mahu orang lain membela dan mempertahankannya, sedangkan beliau
sendiri gembira terus melakukan onar dan perkara-perkara yang
menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan kian menipis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan