Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor seharusnya menyambut baik perhatian
yang diberikan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan
Tempatan (KPKT) terhadap masalah perumahan di negeri itu.
Ketua Umno Bahagian Selayang, Datuk Abdul Syukur Idrus berkata kerajaan
negeri harus akur masih banyak masalah perumahan khususnya pangsapuri,
flat atau apartment yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Kerajaan negeri melalui Exconya, Datuk Iskandar Samad sebelum ini
mempersoalkan mengapa Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar tidak berlaku adil
dan hanya menumpukan perhatian menyelesaikan masalah perumahan di
Selangor walhal tidak berbuat demikian di negeri lain.
"Mengapa kerajaan negeri harus rasa gusar dan ragu. Sepatutnya mereka
rasa bersyukur kerana KPKT mengutamakan negeri Selangor dalam usaha
untuk kesejahteraan rakyat di bandar.
"Kerajaan negeri kalau rasakan mereka nak berusaha untuk sama-sama
menggembleng tenaga bagi menjayakan usaha membela rakyat di bandar,
silakan. Mulakan dari sekarang," katanya ketika dihubungi Antarapos hari
ini.
Iskandar dalam kenyataan medianya sebelum ini menyifatkan Noh sebagai
tidak profesional dan tidak adil kepada negeri lain, berikutan hanya
meluluskan dana untuk kegunaan rakyat Selangor sahaja.
ADUN Chempaka itu juga berkata sikap Noh yang selalu melakukan
konfrantasi seolah-olah kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa untuk
membantu rakyat.
Beliau juga mengugut untuk menimbang semula keistimewaan yang diberikan
kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan bagi membina Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Selangor.
Mengulas lanjut, Shukor berkata Iskandar perlu akur bahawa perumahan
bertingkat serta kos rendah banyak didirikan di negeri itu, justeru Noh
tidak boleh lepas tangan,melainkan menjalankan tugas yang diamanahkan
kepadanya.
"Kebetulan banyak kawasan perumahan kos rendah ini dalam negeri
Selangor. Beliau terpanggil untuk menjaga dan membela dalam negeri
kelahiran beliau.
"Bukan di Selangor sahaja Tan Sri dah lakukan, negeri lain pun
dilakukan benda yang sama. Cuma, disini dilihat begitu agresif. Tak
salah dia nak agresif di negeri kelahiran dia dan nak tunjuk terima
kasih kepada pada kerajaan Pusat kerana berikan beliau jawatan sebagai
Menteri KPKT," tambahnya.
Untuk rekod, Noh akhir-akhir ini meluluskan jutaan ringgit dana untuk menyelesaikan masalah rakyat miskin bandar di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan